
DUNIA reka bentuk kediaman moden yang semakin sarat dengan elemen estetik, jarang sekali kita menemui seorang arkitek yang memberi keutamaan kepada kedamaian jiwa.
Ia bukan sekadar cantik di mata, tetapi tenang di hati.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Rekabrick, Shadee Hizami Khalid, 39, setiap rumah yang dibina perlu menjawab satu soalan asas: "Adakah rumah ini memberi ketenangan kepada pemiliknya?"
BACA LAGI: [VIDEO] Gelombang gaya hidup minimalis ekstrem di Jepun, kurang 250 barang di dalam rumah
BACA LAGI: Dekorasi pejabat ergonomik, gabung gaya, kesihatan di tempat kerja
Rekabrick memperbaiki gaya hidup pemilik rumah melalui seni bina.
"Kami bukan sekadar bina rumah, kami bina gaya hidup"
"Rekabrick adalah syarikat rekaan dan binaan yang fokus kepada kediaman.
"Misi kami jelas untuk memperbaiki gaya hidup pemilik rumah melalui seni bina yang berfungsi dan menyentuh jiwa," kata Shadee kepada Majoriti.
Menurutnya, rumah bukan semata-mata tempat berteduh, tetapi ruang yang mana hubungan keluarga dipulihkan dan kebahagiaan dibina kembali.
"Rumah yang dulu suram dan muram kami mahu cerahkan kembali melalui rekaan yang membangkitkan semangat dan keintiman keluarga."
Falsafah reka bentuk Rekabrick tegas iaitu fungsi dahulu, estetik kemudian.
Cinta Jepun terpahat di dinding rumah
Salah satu identiti Rekabrick yang mencuri tumpuan adalah pendekatan Modern Zen Jepun iaitu gabungan minimalisme, praktikaliti dan keseimbangan alam dengan ruang dalaman.
Shadee mengakui, inspirasi itu datang bukan sekadar dari anime seperti Doraemon dan manga zaman kecilnya, tetapi juga dari kunjungan berulang ke Jepun untuk urusan kerja.
"Kami kerap ke Jepun, jadi jiwa Jepun itu melekat. Warna, suasana hotel, cara mereka susun ruang, semua itu kami bawa ke Malaysia dan terjemahkan dalam rumah."
Shadee mengakui, inspirasi Zen moden datang ketika berkunjung ke Jepun.
Apabila ditanya apakah elemen utama rumah berkonsep zen moden, Shadee tidak ragu menyenaraikan tiga perkara:
1. Warna bumi dan semula jadi
"Beige, kayu dan tona tanah, warna ini menenangkan secara visual."
2. Konsep dalaman dan luaran
"Kita buka ruang besar, masukkan cahaya semula jadi dan sentiasa ada 'view' ke arah kehijauan walaupun dari ruang dalam."
3. Ruang terancang dan praktikal
"Tempat duduk mesti cukup, storage kena banyak. Rumah bukan galeri seni kerana ia tempat tinggal."
Modern Zen ialah gabungan minimalisme, praktikaliti dan keseimbangan alam dengan ruang dalaman.
Dekorasi luar minimalis tapi bermakna
Landskap luar rumah juga tidak dibiarkan tanpa falsafah.
Diilhamkan oleh seni taman Jepun yang tenang dan bersih, landskap direka oleh isteri Shadee sendiri dengan sedikit pokok, batu dan pancuran air ala Jepun.
"Saya bukan rajin sangat siram pokok. Jadi konsep Jepun ini memang kena kerana minimal, tak cerewet tapi menenangkan."
Rumah Zen bukan lagi impian estetika semata-mata, tetapi sebuah realiti yang boleh dicapai.
Shadee ketawa kecil bila ditanya tentang cabaran membina rumah Zen.
Katanya, sukar bila perlu ‘melawan’ visi isteri yang lebih awal nampak hasil akhir.
"3D semua ada, tapi nak nampak apa yang dia bayangkan itu susah. Kadang-kadang saya kata tak perlu buat, tapi bila dah siap, saya akui, memang patut kami bergaduh manja sikit dulu."
Falsafah reka bentuk Rekabrick tegas iaitu fungsi dahulu, estetik kemudian.
Rumah perlu boleh digunakan, bukan hanya untuk dipandang.
"Kalau terlalu cantik sampai sayang nak sentuh, itu bukan rumah. Rumah perlu cozy, homey, bukan macam muzium."
Ruang jacuzzi berkonsep terbuka menjadi lokasi paling disukai Shadee.
Ruang kegemaran Shadee
Di tingkat atas, sebuah ruang jacuzzi berkonsep terbuka menjadi lokasi paling disukai Shadee.
Dikelilingi kehijauan, bersebelahan bilik tidur utama dan sesuai untuk baca buku itulah tempat ‘me time’.
"Dekat situ saya rasa macam samurai, selesai perang dunia luar, balik rumah untuk tenang. Zen itu maksudnya kedamaian. Itu yang kami cuba capai dalam setiap rumah."
Di akhir temubual, Shadee memberi nasihat ringkas untuk mereka yang mahu membina rumah Zen moden.
"Kenal diri dulu. Jangan ikut orang. Bila kita tahu bajet dan keutamaan kita, baru design itu jadi jujur dan sesuai."
Dalam tempoh empat hingga lima bulan, rumah idaman Shadee dan keluarga siap sepenuhnya menyerupai visual 3D asal.
Ia bukti bahawa rumah Zen bukan lagi impian estetika semata-mata, tetapi sebuah realiti yang boleh dicapai selagi ada ketelitian, kesabaran, dan jiwa yang tahu apa itu kedamaian sebenar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram