
PADA pandangan pertama, Rumah Flovik kelihatan seperti sebuah kediaman impian dengan reka bentuk moden dan minimalis garisan bersih.
Penggunaan kayu dan marmar mewah, serta suasana tenang di lereng bukit pinggir Kuala Lumpur.
Namun, siapa sangka rumah banglo dua tingkat itu sebenarnya menyimpan pelbagai rahsia tersembunyi dan fungsi mengejutkan direka penuh ketelitian serta imaginasi.
BACA LAGI: Elyana beri bayangan kembali bertarung melawan kanser, pertama kali didiagnos 16 tahun dulu
BACA LAGI: Bayi 5 bulan mati kebuluran di Gaza, berat badan lebih ringan berbanding saat baru lahir
"Abracadabra dan open sesame," seloroh arkitek Fabian Tan sambil menunjukkan satu bahagian dinding rumah yang tiba-tiba berpusing terbuka, mendedahkan sebuah bukaan siling rahsia di tingkat atas.
Tetapi itu bukan sekadar helah visual kerana di Rumah Flovik, segala magis yang berlaku adalah nyata dan dibina dengan tujuan serta fungsi.
Dinding berpusing dua panel (atas kanan) di atas pintu gelangsar ruang tamu utama boleh disesuaikan ke dalam empat konfigurasi.
Seni bina penuh cerita
Terletak di atas tanah seluas 632 meter persegi dengan binaan sekitar 372 meter persegi, rumah itu asalnya sebuah struktur bertingkat separa (split level) dengan perbezaan aras 1.5 meter.
Namun, Tan berjaya mentransformasikan ruang asal menjadi pengalaman seni bina yang lancar dan berlapis.
"Saya gemar mengekalkan tulang (binaan asal) rumah asal dan membina sesuatu yang baharu di atasnya.
"Macam menulis semula cerita, tapi kali ini, dengan bab tambahan penuh misteri," jelas Tan.
Elemen-elemen tersembunyi seperti panel rahsia, sudut pengintip dan kawasan pemerhati tersembunyi dimasukkan secara seni bukan gimik tetapi simbol penghormatan terhadap istana lama dan rumah agam klasik kaya dengan simbol privasi serta ketelitian.
Contohnya, pada kawasan tangga terdapat satu lubang intai kecil membolehkan penghuni melihat siapa yang berada di pintu hadapan tanpa dilihat.
"Fungsinya jelas, tapi ia juga satu bentuk estetika yang bermain dengan imaginasi," kata Tan.
Taman batu yang tinggi dengan kehijauan subur menyembunyikan sebuah air terjun mengalir ke kawasan tempat duduk di dek luar.
Dinding pintar berubah mengikut suasana
Salah satu ciri paling menonjol di Rumah Flovik ialah dinding dua panel boleh laras di atas pintu gelangsar ruang tamu utama.
Dari luar, ia kelihatan seperti sebahagian struktur tetap, namun dengan satu sentuhan butang papan suis rahsia, panel itu boleh dibuka dalam empat konfigurasi berbeza.
Ia mengawal aliran udara, cahaya semula jadi dan privasi menjadikan ruang dalam rumah lebih responsif terhadap keperluan harian.
"Ia performatif dan puitis," ujar Tan.
Marmer Carrara dan kayu hangat bergabung dengan lancar dalam kemewahan halus.
Reka bentuk bertingkat adaptif
Susun atur rumah itu juga luar biasa, dari foyer utama, anda akan menuruni anak tangga ke ruang yang dahulunya ruang tamu, kini diubah menjadi ruang kerja sunyi menghadap taman hadapan.
Di bahagian atas pula terdapat ruang tamu dan makan berketinggian dua tingkat, diapit kolam ikan koi tenang dan taman batu dengan air terjun halus yang menyegarkan ruang luar.
Bunyi gemercik air, pemandangan hijau dan udara sejuk mencipta satu pengalaman yang merangsang semua deria.
"Seni bina ini bukan untuk dilihat saja, tetapi untuk dirasa dan dialami," kata Tan.
Rumah Flovik adalah struktur bertingkat pecah yang adaptif.
Ruang sosial dan peribadi saling bersambung
Dapur rumah itu tampil hangat dan mengundang, dengan gabungan marmar Carrara, kayu serta pencahayaan lembut.
Pulau dapur menghubungkan ruang ke bar lounge yang mengelilingi sisi ruang tamu, menjadikan interaksi sosial lebih lancar.
Uniknya, siling tinggi, bukaan tengah dan peralihan aras asal rumah digunakan semula bagi mencipta aliran udara serta pandangan visual yang dinamik tanpa rasa sempit walaupun rumah asal berbentuk split-level.
"Kami panggil ini ‘reka bentuk split-level adaptif’, responsif kepada perubahan gaya hidup, cuaca dan keperluan fungsi," jelas Tan.
Bumbung terbuka menawarkan pemandangan yang hebat ke persekitaran dan garis langit Kuala Lumpur.
Tingkat atas dan dek bumbung memukau
Dari tangga asal rumah, anda akan sampai ke kawasan bilik tidur utama yang lengkap dengan almari pakaian berjalan (walk-in wardrobe) dan tab mandi yang menghadap taman peribadi.
Di hujung koridor pula terdapat dua bilik tidur lain, semuanya dengan bilik air en suite.
Paling menarik, dek bumbung terbuka memberikan panorama indah dari pohon-pohon hijau hingga langit Kuala Lumpur.
Ia ruang ideal untuk menonton matahari terbenam atau sekadar duduk diam menikmati angin petang.
Ruang santai keluarga yang selesa menghadap ruang tamu berketinggian dua tingkat.
Rumah atau fantasi?
Nama Flovik sendiri mencetus persoalan kerana bunyinya seakan-akan dari novel fantasi atau filem perisik.
Adakah ia berasal dari Scandinavia? Atau satu gabungan perkataan rahsia?
Tan hanya tersenyum dan berkata,
"Shhh... ia rahsia. Setiap rumah perlu ada satu."
Begitulah Rumah Flovik, bukan sekadar rumah moden cantik, tetapi sebuah pengalaman hidup penuh imaginasi, kejutan dan misteri. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram