[VIDEO] Enggan terburu-buru, fokus stabil kewangan, mental, elak situasi kahwin hari ini, esok lusa bercerai


  • Cinta
  • Selasa, 29 Jul 2025

Mustaqim Bahadon memilih untuk menunda perkahwinan demi kestabilan emosi dan kewangan terlebih dahulu.

DALAM situasi ramai memilih berkahwin pada usia muda, pelakon Mustaqim Bahadon tampil dengan pandangan berbeza menunda perkahwinan demi menstabilkan emosi dan kewangan terlebih dahulu.

Beliau bukan menolak perkahwinan, sebaliknya lebih berhati-hati kerana melihat terlalu banyak rumah tangga di sekelilingnya yang runtuh disebabkan tiada persiapan rapi.

“Saya dah tujuh tahun bercinta dengan girlfriend. Wanita dari dulu sampai sekarang. Tapi realitinya, apabila tengok orang sekeliling termasuk keluarga sendiri, banyak yang kahwin kemudian cerai.

"Ia buat saya jadi takut. Saya belum bersedia, dari sudut kewangan dan mental untuk jadi suami,” katanya kepada Majoriti

BACA LAGI: Bayi diiktiraf paling pramatang di dunia, lahir seberat 283 gram semakin stabil, rai ulang tahun pertama

BACA LAGI: Tinggal bekas teman wanita demi cari lebih baik, kini perkahwinan hambar, takut 'berbalik' pada anak perempuan

Pelakon berusia 40 tahun itu turut mengakui pengalaman peribadi melihat perpecahan dalam keluarga sendiri antara punca utama beliau mengambil pendekatan berhati-hati.

Tambahnya, apabila perceraian berlaku, bukan sahaja pasangan yang terluka, malah hubungan kekeluargaan yang sebelum ini akrab turut terjejas.

“Trauma itu ada. Apabila dah rapat dengan keluarga pasangan, sepupu pun sudah mesra, tiba-tiba bercerai, rasa janggal. Hubungan renggang walaupun dulu baik. Saya tak nak benda jadi pada saya," katanya.

Dalam tempoh tujuh tahun menyulam cinta, Mustaqim bersyukur kerana dipertemukan dengan wanita yang memahami, sabar dan sanggup bertahan walaupun beliau masih belum menetapkan tarikh untuk bernikah.

“Dia memahami dan tak pernah paksa saya. Umurnya awal 30-an, pramugari. Saya pun pernah cakap, kalau nak cari orang lain, silakan. Tapi dia tetap nak bersama saya.

“Saya sendiri hairan, mungkin dia suka orang pelik macam saya. Tapi bila ada orang yang sanggup tunggu dan kekal, alhamdulillah itu satu rezeki besar,” katanya.

Menyentuh soal mengurus kewangan, Mustaqim meletakkan keutamaan untuk membina kestabilan diri terlebih dahulu.

“Saya sekarang berusaha kumpul duit, bukan untuk kahwin saja. Kalau tak jadi kahwin pun, at least kewangan saya stabil. Itu penting. Biar kita bina asas dulu sebelum bina rumah tangga,” katanya.

Mustaqim juga mendedahkan bahawa beliau pernah merancang untuk berkahwin ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun belum ada rezeki ke arah itu.

“Saya target masa PKP, tapi tak ada rezeki. Keluarganya okey, tak pernah paksa. Tapi bukan bermakna mereka tak paksa saya tak berusaha, saya berusaha,” katanya.

Jelas Mustaqim, keputusannya untuk menunggu masa sesuai bukan kerana takut komitmen, sebaliknya mahu memastikan rumah tangga yang dibina kukuh hingga ke akhir hayat.

“Saya nak kahwin, tapi saya nak pastikan perkahwinan itu tahan lama. Saya nak elak situasi kahwin hari ini, cerai esok lusa. Sebab tu saya ambil masa,” katanya.

Bercakap soal perkembangan semasa, Mustaqim kini tampil dalam filem Munajjim: Sekutu Iblis yang bakal ditayangkan pada 31 Julai ini. 

Filem terbaharu arahan Faizul A Rashid itu memaparkan amalan ilmu hitam dan syirik yang masih wujud dalam masyarakat moden hari ini.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram