Tinggal bekas teman wanita demi cari lebih baik, kini perkahwinan hambar, takut 'berbalik' pada anak perempuan


  • Cinta
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Seorang lelaki kini menyesal memutuskan hubungan dengan bekas kekasihnya demi mengejar wanita pilihan keluarga yang disangka sempurna.

PERNAH memiliki seseorang menyayangi sepenuh jiwa, namun memilih untuk melepaskannya demi mengharapkan yang lebih baik. 

Itulah penyesalan menghantui seorang lelaki apabila menyedari wanita pernah dikecewakan dulu sedap hidup bahagia, sementara dirinya bergelut dalam perkahwinan yang hambar.

Kisah itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, Mankidal.7 selepas satu hantaran tular mempersoalkan kewujudan kifarah bagi mereka yang pernah melukai hati orang lain tanpa rasa bersalah.

“Aku pelik, macam mana ada orang boleh hidup relaks sahaja tak rasa bersalah langsung lepas dah khianat dan kecewakan orang… padahal orang tu dah hancur teruk tapi dia buat selamba macam tiada apa jadi. Kadang aku terfikir jugak, kifarah itu wujud atau tak?” soal Caahiraa.

BACA LAGI: Sebelum rancang anak kedua, tengok sikap suami, banyak alasan atau ringan tulang sama-sama jaga amanah

BACA LAGI: 'Genap sebulan sejak janji, maut tak pisahkan kita', balu Diogo Jota pecah kebisuan, imbau hari terindah

Seorang lelaki terpaksa bertahan dalam rumah tangga yang hambar kerana menganggap itu kirafah atas kesalahan masa silamnya. —  Gambar hiasan

Terbuka menjawab persoalan itu, Mankidal.7 tampil jujur bercerita mengenai kisah silamnya. 

Katanya, ketika zaman muda, beliau pernah meninggalkan bekas teman wanita tanpa alasan jelas hanya kerana mahukan calon isteri lebih sempurna pada mata keluarga. 

“Bekas kekasih frust sampai hampir gila. Tapi aku mana fikir pasal kifarah masa tu. Aku anggap dia cuma untuk suka-suka sahaja. Bila ibu bapa aku nak jodohkan dengan anak kawan dia, aku terus setuju," katanya. 

Tambahnya lagi, bekas kekasih pernah mengajaknya berkahwin, namun beliau menolak dengan alasan tidak mahu melangkah bendul, sedangkan hakikatnya sudah membuat keputusan sendiri.

“Bekas kekasih aku siang malam telefon cuba pujuk aku. Tapi aku buat tak endah. Pernah terserempak kat pasar malam pun aku buat-buat tak kenal," katanya. 

Si isteri kerap memarahi suaminya. —  Gambar hiasan

Namun, segalanya berubah selepas dia mendirikan rumah tangga. 

Kehidupan yang disangka akan membahagiakan bertukar menjadi penuh tekanan. 

“Lepas kahwin, hidup aku tak tenang. Bini aku suka membentak dan baling barang-barang. Aku mula teringat balik kebaikan bekas kekasih aku. Sampai satu tahap aku cari dia untuk minta maaf," katanya. 

Walaupun bekas kekasihnya itu sudah memaafkannya, rasa bersalah dan dosa silam itu tetap menghantui.

“Dia yang aku anggap tak layak untuk jadi bini, sekarang jadi ibu yang baik untuk anak-anak dia. Aku pula hidup dalam perkahwinan yang hambar. Mungkin inilah kifarah aku," katanya. 

Kini, sebagai bapa, ketakutan terbesarnya adalah jika kesilapan lampau itu berbalik kepada anak sendiri.

“Setiap malam aku risau benda yang aku buat dulu akan kena kat anak aku. Aku dah bertaubat, tapi hati aku tak pernah tenang," katanya. 

Kisah itu membuka ruang buat ramai pengguna lain berkongsi pengalaman serupa, selain menyatakan kepercayaan mereka terhadap konsep kifarah iaitu balasan atas perbuatan silam.

“Kifarah tu wujud. Tak semestinya dalam bentuk kehilangan harta atau kerja. Tapi bila kita hilang arah, kosong, jauh dari Tuhan, itu pun balasan,” kata Adr.kmsni.

Seorang lagi pengguna, Fatinnzirah turut berkongsi pengalaman serupa selepas pernah meninggalkan seseorang dengan alasan yang tidak masuk akal.

“Sekarang aku kenal orang tapi semua tak menjadi. Padahal dah beribu kali minta maaf dengan ex. Tapi rasa bersalah tu masih menghantui," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram