'Bila nak siap?', lagi 2 peratus aplikasi Jodoh Darul Iman nak siap, rakyat Terengganu tak sabar cari pasangan sama negeri


  • Cinta
  • Isnin, 28 Jul 2025

Aplikasi Jodoh Darul Iman direka khusus untuk rakyat Terengganu yang serius mencari pasangan hidup. — FB YPKT

APLIKASI Jodoh Darul Iman yang dibangunkan khas untuk membantu rakyat Terengganu mencari pasangan hidup masih belum dilancarkan, meskipun sebelum ini dimaklumkan hampir siap sepenuhnya.

Pada November 2024, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memaklumkan bahawa aplikasi itu mencapai 97 hingga 98 peratus tahap pembangunan. 

Usaha itu disambut baik oleh masyarakat, khususnya dalam kalangan anak muda yang sedang mencari pasangan kerana ia menawarkan platform pencarian jodoh secara dalam talian yang percuma.

BACA LAGI: 'Umur dah 30 tak berani nak kahwin kerana masih tanggung, urus keluarga', Dr Norhafizah titip cari pasangan ideal

BACA LAGI: Persis remaja, rupanya dah bergelar nenek, ini rahsia cantik idol Jepun, cecah usia 44 tahun

Namun, selepas hampir sembilan bulan, masih tiada pengumuman rasmi mengenai pelancarannya, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang ternanti kehadiran aplikasi itu.

Antara yang menarik perhatian adalah ciapan daripada pengguna Terengganu Voice yang menanti perkembangan mengenai pembangunan aplikasi itu. 

"Jodoh Darul Iman. Lagi 2 peratus bila nak siap?" katanya.

Rata-rata masyarakat masih menaruh harapan agar aplikasi itu dapat direalisasikan sepenuhnya. 

Bagi mereka, usaha itu bukan sahaja memudahkan pencarian jodoh, malah mampu memperkukuh institusi keluarga melalui pendekatan yang lebih tersusun dan selamat.

Beberapa pengguna media sosial turut berkongsi pandangan mereka mengenai aplikasi berkenaan.

“Sebab lambat siap, saya pun cari jodoh negeri lain. Alhamdulillah, dah bertemu jodoh. Tapi niat asal memang nak cari orang Terengganu,” kata Nurul Janah Ahmad.

Pandangan berbeza dikongsikan Niss Safiyy yang terbuka dengan pilihan pasangan dari luar negeri.

“Saya lebih suka pasangan dari negeri lain. Rasa seronok bila dapat kenal budaya yang berbeza," katanya. 

Namun, ada juga yang melihat jodoh dari negeri sendiri lebih praktikal, seperti dikongsikan Mohd Azrol yang dilihat lebih berminat dengan pasangan dari negeri yang sama.

“Kalau pasangan dekat, senang nak balik jenguk keluarga bila perlu. Tak perlu ulang-alik jauh," katanya. 

Perkara itu turut disokong oleh warga maya lain, Fakhry Sulaiman yang ternanti untuk menggunakan aplikasi itu. 

"Bak kata P. Ramlee, saya tunggu punya tunggu, bulan tak timbul," katanya. 

Untuk rekod, pada 3 November 2024, YPKT memaklumkan bahawa satu taklimat telah diadakan bagi meneliti perkembangan aplikasi Jodoh Darul Iman dan membincangkan penambahbaikan terakhir sebelum ia dilancarkan kepada umum.

Aplikasi berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Top IT Industries Sdn Bhd dan direka khusus untuk rakyat Terengganu yang serius mencari pasangan hidup melalui kaedah yang lebih sistematik dan beretika.   — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram