
PEREKA fesyen terkenal, Hatta Dolmat meluahkan rasa syukur atas sokongan ibu bapanya yang hadir ke lokasi pertunjukan fesyen bagi koleksi beliau meskipun tidak menyaksikan acara itu secara langsung.
Menerusi satu hantaran di Threads, Hatta atau nama sebenarnya Muhammad Hatta Dolmat sebak kerana ibu bapanya hanya duduk di bilik hotel dan tidak turun ke pentas utama disebabkan rasa segan dan kurang biasa dengan suasana dunia fesyen.
“Nak sangat ibu bapa tengok pertunjukan koleksi saya sekurang-kurangnya sekali. Tapi saya faham, mereka macam saya juga, ada rasa segan dan tak biasa.
"Mak ayah saya orang kampung. Mereka datang beri sokongan, tapi duduk di bilik hotel pun saya dah cukup gembira,” kongsi lelaki berusia 43 tahun itu.
Hatta turut menyatakan bahawa beliau kekal bertahan dalam industri fesyen atas berkat doa dan sokongan ibu bapanya.
“Saya bertahan selama ni sebab mereka. Tapi yang pasti, doa mereka itu dah memadai lebih dari segalanya,” katanya lagi.
Luahan tersebut menerima pelbagai reaksi dan sokongan daripada pengikutnya di platform berkenaan yang rata-rata memahami situasi dihadapi dan mencadangkan penyelesaian bagi masa akan datang.
“Cuba lantik seorang yang boleh teman ibu bapa sepanjang acara. Apabila ada orang mereka kenal akan rasa lebih selamat dan selesa. Yang penting, mereka pasti bangga dengan pencapaian awak. Teruskan beri yang terbaik!" komen @glowing_diivaa.
Sementara itu, @sazlan_choreographer mencadangkan siaran langsung secara dalam talian supaya ibu bapa Hatta boleh menonton dari bilik hotel sahaja.
“Saya pasti ibu bapa awak bangga. Tapi mungkin mereka rasa kekok. Kalau ada orang temankan, mungkin mereka lebih selesa.
"Cuba ajak tengok dari belakang pentas, sekurang-kurangnya mereka boleh lihat kejayaan awak secara langsung walaupun bukan di kerusi penonton," jelas @Ninaandsophia.
Dalam pada itu, ada juga yang menyentuh soal nilai dan suasana acara.
“Pastikan persembahan paling sopan dan tetamu yang hadir juga sederhana. Bawa tema dekat dengan keluarga sendiri agar rasa dihormati," kata @sherrynabilah.
Membalas cadangan tersebut, Hatta mengakui bahawa bapanya pernah menyampaikan nasihat yang sama.
"Ya, ayah pernah pesan ni," ujar Hatta ringkas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram