Miliki lebih 200 beg tangan Hermes Birkin, sosialit Jamie Chua pernah jual semula demi sara anak-anak, anggap pelaburan berbaloi!


  • Gaya
  • Selasa, 24 Jun 2025

Jamie dikatakan mempunyai koleksi Hermes Birkin dan Kelly paling banyak di dunia dan disimpan dalam bilik khas lengkap dengan sistem keselamatan cap jari. — Instagram/@ec24m

NAMA Jamie Chua mungkin sinonim dengan kemewahan khususnya almari beg tangan Hermes Birkin dimilikinya.

Kehidupannya seolah-olah watak sebenar dalam filem Crazy Rich Asians (2018).

Beliau bukan sahaja dikenali kerana gaya hidup mewah, tetapi juga memiliki koleksi Hermes Birkin dan Kelly paling banyak di dunia dengan jumlah dipercayai melibatkan lebih 200 unit disimpan di dalam bilik khas bersaiz lebih 700 kaki persegi lengkap sistem keselamatan cap jari.

BACA LAGI: Evolusi pemerah pipi: Dahulu serbuk, kini ramai beralih pada 'liquid'

BACA LAGI: 'Emas pelaburan terbaik sebagai hantaran kahwin', jangan tunggu harga emas turun, beli ketika mampu — Pengasas Angsa Emas Jewellery

Antara koleksi beg tangan milik Jamie. — Instagram/@ec24m

Namun, di sebalik koleksi bernilai jutaan ringgit dan penampilan mewah yang dipamerkan di media sosial, wanita berusia 52 tahun dari Singapura itu sebenarnya pernah berdepan masalah melibatkan rumah tangga sehingga terpaksa menjual semula koleksi beg tangan beliau demi menyara anaknya.

Ia berikutan masalah rumah tangga beliau berakhir dengan perceraian pada 2011 bersama usahawan dari Indonesia, Nurdian Cuaca.

Permulaan kerjaya

Jamie memulakan kerjaya berkhidmat sebagai pramugari di Singapore Airlines pada usia 17 tahun.

Beliau kemudiannya bertemu dengan bekas suami sewaktu bertugas di awan biru dan mendirikan rumah tangga pada awal 20-an.

Kehidupannya berubah, daripada wanita biasa kepada isteri jutawan dan seterusnya melangkah ke dunia fesyen kelas atasan.

Namun pada 2011, selepas lebih sedekad bersama, pasangan tersebut bercerai.

Perceraian mereka menjadi bualan apabila Jamie memohon nafkah sebanyak 450,000 dolar Singapura sebulan (kira-kira RM1.5 juta) untuk menampung gaya hidup dan pendidikan anak-anak mereka.

Walaupun angka itu mengejutkan, bagi Jamie, ia mencerminkan kehidupan sebenar yang sudah lama dibina bersama.

Koleksi Birkin

Beg Birkin dan Kelly bukan sekadar simbol status bagi Jamie. Ia juga pelaburan.

Dalam satu temu bual, Jamie mengaku bahawa semasa proses perceraian, beliau menjual beberapa beg Hermes miliknya demi menampung kos hidup bersama anak-anak.

“Orang nampak saya dengan ratusan beg mahal, tapi mereka tak tahu saya pernah jual beberapa daripadanya demi kelangsungan hidup. Bukan semua kemewahan ini datang tanpa pengorbanan,” ujarnya.

Koleksi Jamie termasuk Hermes Himalayan Birkin yang jarang ditemui, dihiasi berlian dan bernilai lebih daripada AS$300,000 (RM1.3 juta) seunit.

Bagi pengumpul barangan fesyen, beg tangan tersbut dianggap lebih bernilai daripada emas.

Jamie (kanan) bersama puterinya, Calista. — Instagram/@ec24m

Kehidupan baharu

Selepas bercerai, beliau membina empayar kecantikan sendiri menerusi jenama penjagaan kulit, Luminous1 yang pernah aktif suatu ketika dahulu. Namun, jenama itu kali terakhir dilihat aktif pada tahun 2016.

Kini, Jamie lebih menumpukan kepada pengaruhnya di media sosial, di mana beliau memiliki lebih satu juta pengikut di Instagram.

Terbaharu, sebuah agensi mendedahkan bahawa Jamie pernah membeli set barang kemas bernilai sekitar AS$300,000 (RM1.3 juta) untuk anak perempuannya, Calista ketika beliau baru berusia sembilan tahun.

Loket dan cincin berbentuk hati itu dibeli menggunakan simpanan peribadi Jamie sebagai hadiah perkahwinan masa depan untuk anaknya.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha Jamie membina tradisi keluarga, sesuatu yang tidak pernah dimilikinya sewaktu membesar dalam keluarga sederhana.

Jamie turut menyimpan hasrat agar barang-barang kemas miliknya yang kini menjadi simbol kejayaan dan kasih sayang dapat diwariskan secara turun-temurun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram