[VIDEO] Ibu sanggup berpanas cari rezeki sebagai 'cleaner', tangan kanan pegang penyapu, sebelah lagi 'berikat' anak sakit mental


  • Bonda
  • Isnin, 28 Jul 2025

Seorang wanita cekal membersihkan jalan sambil menggenggam erat tangan anak lelakinya yang menghidap masalah mental.

DEMI memastikan keselamatan anak dan orang sekeliling terjamin, biarpun dalam cuaca panas melebihi 35 darjah Celsius, seorang ibu mencari rezeki dengan menyapu jalan sanggup menggenggam erat tangan anak lelakinya dikatakan menghidap masalah mental.

Situasi itu dapat dilihat menerusi satu rakaman video tular memaparkan keutuhan kasih sayang wanita bekerja sebagai tukang pembersih di sekitar kawasan pelancongan popular di Xi’an, Wilayah Shaanxi, China, bersama anak lelaki yang mana tangannya berikat tali.

“Sebelah tangan pegang penyapu demi menyara hidup, sebelah lagi erat menggenggam anak dikasihi,” tulis seorang pejalan kaki yang merakam detik itu kerana tersentuh melihat kecekalan wanita berkenaan bekerja dalam cuaca panas terik.

BACA LAGI: Bayi diiktiraf paling pramatang di dunia, lahir seberat 283 gram semakin stabil, rai ulang tahun pertama

BACA LAGI: Tinggal bekas teman wanita demi cari lebih baik, kini perkahwinan hambar, takut 'berbalik' pada anak perempuan

Identiti wanita tersebut tidak didedahkan, namun menurut seorang kenalan dikenali sebagai Wang, tukang pembersih itu berusia sekitar 50-an manakala anak lelaki mengalami kecacatan mental dalam lingkungan 30-an.

“Dia terpaksa membawa anak ke tempat kerja kerana tidak mampu mengupah penjaga. Ikatan tali itu bertujuan mengelakkan anaknya daripada meluru ke jalan raya atau mengganggu orang ramai,” kata Wang.

Namun, selepas video tersebut tular, wanita berkenaan dilaporkan berdepan gangguan apabila semakin ramai individu termasuk pempengaruh hadir ke lokasi kerjanya untuk merakam dan mempersoalkan tentang sumbangan diterima.

Situasi itu menimbulkan rasa tidak selesa sehinggakan beliau mohon pertukaran ke lokasi kerja lain demi ketenangan diri dan anak.

Menurut wakil Lianhu District Environment Sanitation Group, wanita itu telah berkhidmat sebagai petugas kebersihan di bawah syarikat berkenaan sejak dua tahun lalu.

“Dia hanyalah pekerja biasa di barisan hadapan. Sepanjang tempoh bekerja tidak pernah meminta sumbangan daripada orang ramai, meskipun ramai tahu anaknya menghidap penyakit mental,” katanya.

Tambah wakil itu lagi, pihak syarikat menyediakan elaun cuaca panas sebanyak 25 yuan (sekitar RM15) setiap hari kepada pekerja, selain bantuan barangan asas seperti beras dan minyak masak kepada keluarga kurang berkemampuan semasa sambutan perayaan tradisional.

“Disebabkan gangguan berterusan daripada orang ramai yang ingin melihat dan merakam dirinya, dia sedang memohon pertukaran ke bahagian lain,” ujarnya.

Menjengah ke ruangan komen, situasi itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

“Cara terbaik untuk membantu adalah dengan tidak mengganggu,” tulis seorang pengguna di platform Weibo.

“Tali itu seperti tali pusat disambung semula yang menggambarkan kasih seorang ibu tidak pernah terputus," kata seorang pengguna. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram