Sebelum rancang anak kedua, tengok sikap suami, banyak alasan atau ringan tulang sama-sama jaga amanah


  • Cinta
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Peranan yang dimainkan suami terutama selepas memiliki cahaya mata penting untuk dilihat sebelum memilih untuk memiliki anak kedua.  — Gambar Hiasan

CINTA selepas berkahwin tidak selalunya seindah seperti yang dibayangkan. 

Ada kalanya, kehadiran cahaya mata pertama menjadi titik permula kepada perubahan besar dalam hubungan suami isteri iaitu sama ada semakin erat atau sebaliknya.

Itulah mesej cuba disampaikan oleh seorang bapa tunggal, Bobi.saprijand menerusi satu hantaran di laman Threads yang meraih perhatian ramai baru-baru ini.

BACA LAGI: 'Genap sebulan sejak janji, maut tak pisahkan kita', balu Diogo Jota pecah kebisuan, imbau hari terindah

BACA LAGI: Suami enggan lepas walau sudah lafaz taklik, peguam syarie jelas prosedur perlu isteri lakukan

Portrait of mother and son happy cuddle together in the park. Family concept.

Setiap pasangan pasti mahukan yang terbaik untuk anak mereka. — Gambar hiasan

Dalam perkongsiannya, Bobi menitipkan pesanan khusus buat para isteri yang baru sahaja menerima anak pertama agar tidak terburu-buru untuk merancang anak kedua. 

Sebaliknya, beliau beranggapan perlunya menilai sikap dan tanggungjawab yang dimainkan suami dalam penjagaan anak pertama.

“Tengok dulu bagaimana sikap suami bila terima anak pertama. Barulah fikirkan tentang anak kedua,” katanya.

Menurut Bobi, kehadiran anak sulung menjadi ujian paling awal dan besar dalam sesebuah perkahwinan. 

Anak pertama ibarat kaca pembesar yang akan memperlihatkan siapa sebenarnya pasangan kita.

“Lihat sama ada dia membantu atau sekadar memberi alasan. Adakah dia hadir saat isteri kepenatan atau lebih memilih bermain telefon dan mengatakan mengantuk," katanya.

Bobi percaya, cinta yang sebenar tidak hanya terletak pada kata-kata manis atau janji setia di awal perkahwinan, tetapi pada tindakan kecil yang memberi makna besar terutamanya apabila isteri melalui fasa awal bergelar ibu sarat dengan keletihan.

Young Asian couple listen to music and dancing after having breakfast at home. Attractive Japanese woman and handsome man are enjoying spending time together in modern kitchen at house in the morning.

Isteri perlukan sokongan daripada suami dalam membina rumah tangga yang harmoni.  — Gambar hiasan

Bobi juga menitipkan nasihat kepada para bapa, khususnya yang bakal menyambut kelahiran anak pertama. 

Menurutnya, perkara-perkara kecil seperti bangun malam menyediakan susu, menukar lampin tanpa disuruh atau memberi kata-kata semangat kepada isteri setiap hari semuanya memberi kesan besar terhadap emosi dan ketenangan seorang ibu.

“Dengarkan apa isteri luahkan, walaupun mungkin tidak teratur atau penuh emosi. Kehadiran suami yang prihatin akan memberi kekuatan yang luar biasa.

“Kalau anda mampu menjadi bapa, anda juga seharusnya mampu menjalankan tanggungjawab sebagai bapa,” katanya.

Bobi turut berkongsi kisah peribadinya apabila beliau dan isteri pernah merancang untuk menimang cahaya mata kedua iaitu seorang anak perempuan. 

Namun, perancangan itu terhenti apabila isterinya disahkan meninggal dunia.

“Dari pengalaman itu, saya belajar bahawa seorang isteri bukan sekadar perlukan suami di atas kertas, tapi seseorang yang benar-benar ada di sisi," katanya. 

Pesanannya jelas iaitu kehadiran seorang suami semasa anak pertama lahir menjadi penentu sejauh mana isteri boleh bergantung harap dalam membina keluarga.

“Jangan setuju untuk anak kedua jika anda belum yakin bahawa anda punya pasangan yang sanggup bersama melalui susah senang," katanya. 

Menutup pesanan, Bobi menekankan bahawa anak bukanlah pengikat dalam rumah tangga. 

Sebaliknya, anak adalah amanah yang menguji sejauh mana cinta itu benar-benar kukuh.

“Cinta yang sebenar bukan pada saat bahagia sahaja, tetapi pada saat paling meletihkan. Bila semuanya terasa berat, itulah masa untuk saling menguatkan dan bukan menghilang," katanya.

Cinta selepas mendirikan alam rumah tangga memerlukan lebih daripada janji. 

Ia menuntut kehadiran, pengorbanan dan hati yang benar-benar ingin bersama, bukan hanya pada hari yang mudah, tetapi juga di saat segalanya terasa sukar.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian Bobi membuka ruang buat ramai wanita meluahkan pengalaman masing-masing.

Seorang pengguna, Nawa.itu14 menulis bahawa suaminya dahulunya bukan seorang yang mesra keluarga. 

Namun, dengan masa dan bimbingan, beliau berubah menjadi lebih bertanggungjawab dan penyayang.

“Dulu, langsung tak mahu cebok atau mandikan anak. Tapi lama-lama dia berubah. Sekarang, semua dia sanggup buat. Dah boleh komunikasi dengan baik, saya jadi bersyukur," katanya.

Namun, tidak semua kisah berakhir dengan perubahan positif.

Seorang lagi pengguna, Starry.inthenight pula berpendapat bahawa kehadiran anak kedua lebih menyerlahkan lagi kelemahan suaminya.

“Suami saya pula, anak pertama biasa lagi. Sekali dapat anak kedua makin tunjukkan red flag. Sekarang saya tahu, tak semua lelaki berubah. Bila isteri sudah terbiasa buat semua sendiri, kehilangan suami bukan lagi perkara yang menakutkan," katanya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram