Senarai 6 gaun catat rekod lelongan termahal, pernah menjadi miliki puteri raja, bintang filem


  • Gaya
  • Isnin, 28 Jul 2025

Puteri Diana menggayakan gaun baldu hitam rekaan Victor Edelstein ketika menari bersama John Travolta di Rumah Putih, 1985. — Agensi

DALAM dunia seni, karya seperti lukisan dan arca yang jarang ditemui sering dijual pada harga berjuta-juta dolar dalam lelongan.

Kini, peminat fesyen turut menyaingi minat ini apabila gaun-gaun ikonik yang pernah dipakai tokoh budaya pop seperti Marilyn Monroe dan Puteri Diana mula dilelong dengan nilai yang luar biasa tinggi.

Nilai pakaian vintaj dan bersejarah dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun.

BACA LAGI: Renungan kosong Gen Z: Tanda ikhlas, pura-pura mesra atau biadab?

BACA LAGI: Suami enggan lepas walau sudah lafaz taklik, peguam syarie jelas prosedur perlu isteri lakukan

Satu contoh terbaharu ialah gaun rekaan Paco Rabanne yang terjual awal bulan ini menerusi platform lelongan eksklusif, Fair Warning pada harga $112,100 (kira-kira RM473,000).

Gaun tersebut dari koleksi musim bunga tahun 1967 diperbuat daripada kepingan aluminium berbentuk petak dan segi empat yang disambung seperti rantai.

Jualan ini mencatat rekod dunia sebagai harga tertinggi untuk sehelai pakaian rekaan Paco Rabanne.

Pengasas Fair Warning, Loic Gouzer menyatakan bahawa gaun tersebut mungkin sepuluh kali ganda lebih jarang berbanding banyak karya seni dari era 60-an.

Katanya, Paco Rabanne pernah menyebut dalam satu temu bual bahawa wanita menjadi pejuang dan disebabkan itu, beliau mencipta pakaian yang menyerupai perisai untuk mereka.

Loic Gouzer turut berpendapat bahawa mesej tersebut lebih bermakna pada zaman sekarang. Beliau menganggap gaun itu sebagai sebuah karya seni yang sangat penting dan wajar dimiliki oleh pengumpul fesyen.

Namun begitu, gaun Paco Rabanne bukanlah satu-satunya pakaian yang pernah dijual pada harga tinggi. Beberapa gaun lain yang pernah dimiliki oleh selebriti terkenal juga mencatat jualan berjuta-juta dolar.

Berikut antara gaun paling mahal pernah dijual di lelongan:

1. Gaun ikonik Marilyn Monroe – $5.6 juta (RM26 juta)

Gaun putih rekaan William Travilla yang dipakai oleh Marilyn Monroe dalam filem The Seven Year Itch (1955), dikenali sebagai 'gaun lubang udara kereta api bawah tanah', dilelong pada tahun 2011 menerusi Profiles in History.

Ia kekal sebagai gaun paling mahal pernah dijual di lelongan.

2. Gaun My Fair Lady Audrey Hepburn – $4.5 juta (RM19 juta)

Pakaian rekaan Cecil Beaton yang digayakan Audrey Hepburn dalam adegan perlumbaan Ascot untuk filem My Fair Lady (1964) dijual menerusi lelongan Profiles in History pada tahun 2011.

3. Gaun Dorothy dalam The Wizard of Oz – $1.565 juta (RM6.6 juta)

Gaun gingham biru-putih yang dipakai Judy Garland dalam filem klasik ini telah dilelong pada tahun 2015 melalui Turner Classic Movies.

Ia merupakan salah satu daripada hanya dua helai asli gaun Dorothy yang masih wujud.

4. Gaun Jacques Azagury milik Puteri Diana – $1.148 juta (RM4.8 juta)

Pernah dipakai oleh Puteri Diana ketika lawatan ke Florence pada era 1980-an, gaun ini dilelong pada Januari 2024 dalam acara Hollywood Legends anjuran Julien’s Auctions dan Turner Classic Movies.

Ia mencatat rekod sebagai gaun Puteri Diana paling mahal pernah dijual.

5. Gaun Givenchy Audrey Hepburn (Breakfast at Tiffany’s) – $807,000 (RM3.4 juta)

Gaun hitam ikonik yang dipakai Audrey Hepburn dalam filem Breakfast at Tiffany’s (1961) dilelong oleh Christie’s pada 2006, tujuh kali ganda lebih tinggi daripada anggaran asal.

6. Gaun Victor Edelstein milik Puteri Diana – $290,000 (RM1.2 juta)

Gaun baldu hitam yang digayakan oleh Puteri Diana ketika berdansa bersama John Travolta di Rumah Putih pada tahun 1985 dilelong pada 2019.

Ia kini dimiliki oleh organisasi Historical Royal Palaces. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram