'Repair Syria' bina pusat fisioterapi, bantu kanak-kanak jalani rawatan susulan, ada lumpuh, hilang anggota badan akibat letupan


  • Sukses
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Seorang sukarelawan GRT meninjau rumah rosak yang bakal dibaik pulih demi masa depan anak-anak Syria.

SELEPAS lebih satu dekad peperangan yang meranapkan hampir seluruh aspek kehidupan di Syria, timbul satu persoalan sering berlegar di fikiran banyak pihak.

Bagaimana rakyat Syria, khususnya kanak-kanak dapat meneruskan hidup selepas segala-galanya diragut?

Itulah persoalan yang menjadi pendorong kepada pelancaran Project Repair Syria, inisiatif kemanusiaan yang dilaksanakan oleh Global Relief Team (GRT) Malaysia.

BACA LAGI: Bukan rekaan tapi realiti terkini di Gaza, ibu bapa tiada pilihan, terpaksa isi perut anak dengan makanan haiwan demi terus hidup

BACA LAGI: [VIDEO] Gelombang gaya hidup minimalis ekstrem di Jepun, kurang 250 barang di dalam rumah

Misi itu bukan sekadar menghantar bantuan, tetapi membina semula kehidupan dari bata ke bata, harapan demi harapan.

Bagi Eksekutif Ketua Perkongsian GRT, Ruslina Abdul Rani, 50, projek itu adalah lebih daripada sekadar angka dan struktur.

Ia tentang menyelamatkan masa depan kanak-kanak yang kini hanya mengenali dunia melalui serpihan bom, dinding berlubang dan suara trauma.

"Kami lihat sendiri anak-anak Syria belajar di sekolah yang atapnya bocor, dindingnya retak, tapi mata mereka tetap bercahaya.

"Mereka tetap datang, tetap duduk, tetap menulis. Sebab mereka tahu itu satu-satunya harapan mereka untuk keluar daripada kitaran ini,” kata Ruslina kepada Majoriti.

Ruslina (tengah) menegaskan GRT tidak bekerja secara semberono.

Dalam fasa pertama kempen ini, GRT menyasarkan 500 rumah untuk dibaik pulih di kawasan Idlib, antara kawasan selamat dan sesuai untuk pembangunan jangka panjang.

Berbeza dengan projek bina rumah baharu, 'Repair Syria' lebih efektif dari segi kos dan masa kerana banyak rumah asal hanya mengalami kerosakan struktur, tetapi boleh digunakan.

"Daripada kita bina rumah dua bilik baharu, lebih baik kita baiki rumah asal mereka yang ada empat bilik.

"Kosnya lebih rendah, impaknya lebih besar. Kita tak perlu tapak baharu, tak perlu kelulusan rumit, terus baiki dan mereka boleh masuk,” jelas Ruslina.

Kos purata untuk membaiki satu rumah? Hanya sekitar RM15,000.

GRT menyasarkan 500 rumah untuk dibaik pulih di kawasan Idlib.

Selain tempat tinggal, GRT juga memberi fokus kepada pendidikan dan kesihatan, khususnya fisioterapi kerana ia satu keperluan mendesak di kawasan perang.

"Ramai kanak-kanak kehilangan anggota badan akibat letupan. Ada lumpuh. Tapi yang lebih menyayat hati, mereka tidak pernah mendapat rawatan susulan pun.

"Jadi kami bina pusat fisioterapi, bukan klinik biasa, khas untuk pemulihan jangka panjang,” ujar Ruslina.

Untuk fasa awal, dua buah pusat fisioterapi dan dua buah sekolah alternatif akan dibina atau dibaik pulih.

"Kami tak mahu anak-anak Syria membesar tanpa ilmu dan tanpa kemampuan untuk berdiri kembali secara fizikal dan emosional."

Aspek pendidikan dan kesihatan turut diberi keutamaan.

GRT tidak bekerja secara semberono kerana setiap penerima bantuan disaring melalui kerjasama dengan majlis bandaraya tempatan, diikuti lawatan tapak, temubual dan verifikasi inspektor tempatan.

"Kita cari yang paling memerlukan. Ibu tunggal, orang tua yang anaknya semua telah meninggal, keluarga lumpuh total.

"Kita tak boleh bantu semua, tapi kita pastikan yang paling layak menerima dahulu,” jelas Ruslina dengan nada tegas.

Setiap fasa bantuan dipantau rapi melalui sistem MEAL (Monitoring, Evaluation, Accountability, and Learning).

Bantuan yang diberi bukan sahaja dihantar, malah dipantau, dilaporkan dan diperiksa semula secara rawak.

"Kita tak main hantar dan lepas tangan. Kita follow up, tengok rumah itu digunakan atau tidak, bantuan sampai atau tidak. Sampai satu tahap, baru kes itu tutup,” katanya.

Misi GRT bukan sekadar menghantar bantuan, tetapi membina semula kehidupan dari bata ke bata, harapan demi harapan.

Di akhir temu bual, suara Ruslina sedikit bergetar bila menyentuh soal sokongan rakyat Malaysia.

"Kita tak boleh pergi ke sana dengan tangan kosong. Bila rakyat Syria nampak orang Malaysia datang, mereka terus letak harapan. Kita tak sanggup lihat harapan itu mati depan mata kita.”

GRT kini melancarkan tabung crowdfunding terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia individu, korporat, NGO atau sesiapa sahaja yang ingin menjadi sebahagian daripada misi ini.

"Kita bukan minta banyak. Tapi biarlah bila kita bantu, kita tahu ada anak Syria yang boleh tidur di katil, boleh belajar dalam bilik yang ada dinding, dan boleh berjalan semula,” kata Ruslina penuh harapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram