
SEORANG ibu menitiskan air mata sambil mencium buat kali terakhir jenazah anaknya yang berusia lima bulan.
Bayi itu, Zainab Abu Halib, meninggal dunia akibat kebuluran dan ketika ditemui, beratnya lebih ringan berbanding ketika dia dilahirkan.
Dalam suasana panas di jalan yang hancur di Gaza, tubuh kecil Zainab menjadi simbol terbaharu krisis kebuluran yang semakin meruncing selepas 21 bulan peperangan dan sekatan ketat Israel terhadap bantuan kemanusiaan.
Zainab dibawa ke Jabatan Pediatrik di Hospital Nasser pada Jumaat lalu.
Ketika tiba, dia sudah tidak bernyawa, di dalam bilik mayat, seorang petugas perlahan-lahan menanggalkan baju bercetak Mickey Mouse yang dipakainya, melurutkannya dari mata cekung yang terbuka.
Seluarnya pula diselak untuk menunjukkan lututnya yang menonjol.
Ibu jarinya lebih besar daripada pergelangan kaki bayi itu.
Tulang dadanya jelas kelihatan satu per satu.
Zainab lahir dengan berat lebih tiga kilogram, namun ketika meninggal, beratnya kurang daripada dua kilogram.
Seorang doktor mengesahkan ia sebagai kes "kebuluran yang amat kritikal."
Dia kemudian dibalut kain putih dan diletakkan di atas tanah berpasir untuk solat jenazah.
Tubuhnya yang kecil hanya selebar bukaan kaki imam yang mengangkat tangan memanjatkan doa terakhir.
"Dia perlukan susu khas."
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, Zainab merupakan antara 85 kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dalam tempoh tiga minggu lalu.
Sebanyak 42 orang dewasa turut kehilangan nyawa akibat punca yang sama.
"Dia perlukan susu formula khas yang langsung tidak ada di Gaza," kata bapa Zainab, Ahmed Abu Halib kepada The Associated Press, ketika bersiap untuk solat jenazah di perkarangan hospital di Khan Younis.
Ketua Jabatan Pediatrik, Dr Ahmed Al-Farah menjelaskan bahawa bayi itu memerlukan susu formula khas untuk bayi yang alah kepada susu lembu.
Ketiadaan formula itu menyebabkan Zainab mengalami cirit-birit dan muntah berterusan.
Sistem imunnya semakin lemah, lalu dijangkiti bakteria dan seterusnya mengalami sepsis sebelum meninggal dunia.
Dia tidak menghidap sebarang penyakit lain, kata doktor itu, tetapi tidak mampu melawan jangkitan kerana tubuhnya terlalu lemah.
"Ramai lagi akan menyusul."
Keluarga Zainab kini tinggal dalam khemah, seperti ramai penduduk Gaza lain yang hilang tempat tinggal.
Ibunya turut mengalami kekurangan zat makanan.
Dia hanya mampu menyusukan Zainab selama enam minggu sebelum cuba memberinya susu formula.
"Dengan kematian anak saya, ramai lagi akan menyusul," kata si ibu dalam linangan air mata.
"Nama mereka ada dalam senarai yang tak siapa pun peduli. Mereka hanyalah angka. Anak-anak yang kami kandung selama sembilan bulan dan lahirkan kini hanya menjadi nombor statistik."
Tubuh kurusnya tersembunyi di sebalik jubah yang longgar.
Menurut Dr Al-Farah, jumlah kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan melonjak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Wad pediatrik yang hanya mempunyai lapan katil kini menampung sekitar 60 kes, dengan tilam tambahan diletakkan di atas lantai.
Satu lagi klinik berkaitan hospital itu menerima purata 40 kes malnutrisi setiap minggu.
"Jika lintasan sempadan tidak dibuka dan makanan serta susu bayi tidak dibenarkan masuk untuk golongan paling lemah ini, kita akan menyaksikan jumlah kematian yang luar biasa," katanya.
Bantuan disekat, angka korban meningkat
Doktor dan pekerja bantuan menyalahkan sekatan ketat Israel yang menyekat kemasukan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Pakar keselamatan makanan turut memberi amaran bahawa Gaza, dengan lebih dua juta penduduk, kini berada di ambang kebuluran.
Selepas gencatan senjata terakhir berakhir Mac lalu, Israel menutup sepenuhnya semua laluan masuk bantuan selama dua bulan, kononnya untuk memberi tekanan kepada Hamas agar membebaskan tebusan.
Selepas didesak masyarakat antarabangsa, sekatan itu dilonggarkan sedikit pada Mei lalu.
Sejak itu, sekitar 4,500 buah trak telah dibenarkan masuk membawa bekalan bantuan untuk agensi PBB dan organisasi lain, termasuk 2,500 tan makanan bayi dan makanan khas berkalori tinggi untuk kanak-kanak, menurut Kementerian Luar Israel.
Israel turut mendakwa susu formula, termasuk formula khas, telah dihantar.
Namun purata 69 trak sehari jauh daripada keperluan sebenar iaitu antara 500 hingga 600 trak sehari, seperti yang dinyatakan oleh PBB.
PBB memaklumkan sebahagian besar bantuan gagal diedarkan kerana trak-trak mereka diserbu oleh orang ramai yang kelaparan dan kumpulan bersenjata.
Israel juga menyokong Gaza Humanitarian Foundation yang berdaftar di Amerika Syarikat (AS) dan telah membuka empat pusat agihan makanan sejak Mei.
Namun, menurut Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, lebih 1,000 penduduk Palestin terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan, terutamanya berhampiran pusat-pusat agihan tersebut.
Kini, sebahagian besar penduduk Gaza hanya bergantung pada bantuan untuk hidup.
"Kami kekurangan segalanya," kata ibu Zainab sambil menangis.
"Macam mana anak seperti dia nak pulih dalam keadaan begini?" — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram