
RAMAI lelaki menyangka bahawa cinta semata-mata cukup untuk membina sebuah rumah tangga.
Namun hakikatnya, perkahwinan bukan hanya berasaskan rasa sayang, tetapi juga tanggungjawab.
Nafkah sama ada dari segi makanan, pakaian, tempat tinggal mahupun kasih sayang adalah kewajipan yang tidak boleh ditangguhkan atau dikompromi.
BACA LAGI: [VIDEO] Tubuh, kesihatan tak boleh diganti, 3 tip Dr. Asyraf Sam buat 'geng' kerja syif malam
BACA LAGI: [VIDEO] Gelombang gaya hidup minimalis ekstrem di Jepun, kurang 250 barang di dalam rumah
Dalam masyarakat hari ini, kita melihat pelbagai krisis rumah tangga yang berpunca daripada kecuaian dalam memenuhi keperluan pasangan, khususnya daripada pihak suami.
Lebih menyedihkan, ada yang sanggup berbelanja besar untuk hiburan dan rakan, tetapi berkira-kira untuk isteri yang menjadi pendamping hidupnya.
Perkongsian jujur dan menyentuh hati daripada Khalid Ajmain di Threads mengingatkan tentang tanggungjawab suami, malah membawa kembali pesanan penuh hikmah daripada seorang ibu.
Satu pesanan yang lahir daripada pengalaman sebenar kehidupan.
"Jangan kedekut dengan isteri. Jangan abaikan nafkahnya. Itu amanah dan tanggungjawab kamu."
Itulah antara kata-kata terakhir yang ditinggalkan oleh ibu kepada Khalid Ajmain ketika beliau datang menziarahi selepas akad nikah.
Kata-kata yang ringkas, tetapi mengandungi makna mendalam dan menjadi pedoman hidup seorang suami sejati.
Ibunya mengimbau kisah suaminya yang juga bapa Khalid, seorang lelaki yang sakit selama hampir 14 tahun dan menjalani rawatan dialisis, namun tidak pernah sekali pun culas dalam menunaikan nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Dalam apa jua keadaan, nafkah tetap diutamakan walaupun ketika berdepan krisis kesihatan dan kewangan.
"Kalau tinggal beberapa (duit) pun, berikan kepada isteri. Kamu tak akan rugi. Itu amanah kamu sebagai suami."
Dalam apa jua keadaan, nafkah tetap diutamakan walaupun ketika berdepan krisis kesihatan dan kewangan.
Khalid juga berkongsi bagaimana ibunya menyatakan rahsia kebahagiaan dalam rumah tangga adalah apabila suami bersifat pemurah terhadap isterinya.
ALLAH tidak akan menafikan rezeki seorang lelaki yang menjaga tanggungjawabnya dengan penuh ikhlas dan jujur.
Ini bukan semata-mata soal wang ringgit, tetapi juga tentang rasa tanggungjawab, keprihatinan dan keikhlasan dalam memenuhi hak isteri tidak kira dalam keadaan susah mahupun senang.
Khalid turut mengenang pesan almarhum Shaykh Zakaria Bagharib tentang pentingnya menilai kemampuan diri sebelum berkahwin:
"Bila kamu nak kahwin, kamu kena tahu sama ada kamu mampu atau tidak untuk tanggung nafkah isterimu dari segi makanan dan pakaian."
Sayangnya, pesanan itu semakin dilupakan dalam masyarakat moden.
Ramai yang terlalu larut dalam cinta dan emosi hingga lupa menilai kemampuan sebenar untuk menanggung pasangan.
Akibatnya, bila krisis datang, mulalah saling menyalahkan, timbul rasa tidak puas hati dan akhirnya rumah tangga menjadi retak.
Perkahwinan bukan sekadar lafaz akad, bukan hanya berkongsi tempat tidur, tetapi juga tanggungjawab seumur hidup yang perlu ditunaikan dengan jujur dan sabar.
Nafkah bukan soal kecil, dan bukan juga soal pilihan kerana ia adalah amanah yang akan dipersoalkan di dunia dan akhirat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram