
KETIKA sibuk mengejar rezeki, ramai dalam kalangan kita jururawat, anggota keselamatan, operator kilang, pemandu e-hailing dan ramai lagi bergantung kepada kerja syif malam untuk menyara kehidupan.
Namun, hakikat sering terlepas pandang adalah bagaimana waktu kerja yang tidak konvensional itu memberi kesan besar terhadap kesihatan, baik secara fizikal mahupun mental.
Badan manusia secara semula jadi direka untuk berjaga pada siang hari dan berehat pada waktu malam.
BACA LAGI: [VIDEO] Gelombang gaya hidup minimalis ekstrem di Jepun, kurang 250 barang di dalam rumah
Namun, apabila rutin itu diubah berterusan, fungsi fisiologi tubuh juga turut terjejas.
Ini bukan sekadar soal rasa letih, ia melibatkan keseimbangan hormon, sistem imun, metabolisme, dan kesihatan jangka panjang.
Menerusi satu perkongsian video di Instagram, Dr Asyraf Sam, doktor yang aktif berkongsi tip kesihatan awam, tampil memberi tiga tip penting kepada mereka yang terlibat dengan syif malam.
Ia juga bagai satu peringatan penting bahawa kesihatan kita tiada siapa boleh ganti.
"Kalau esok kita sakit, tempat kerja tetap berjalan macam biasa. Tapi tubuh kita, siapa boleh ganti?" kata Dr. Asyraf Sam.
Tanpa tidur berkualiti, badan menjadi lemah, mudah jatuh sakit dan emosi terganggu.
1. Jaga tidur
Tidur bukan sekadar waktu rehat, ia adalah proses penting untuk membaiki tubuh.
Bagi pekerja syif malam, tidur selepas tamat syif adalah keutamaan dan ia bukan lagi pilihan.
"Kalau boleh, lepas habis syif terus balik dan tidur. Pastikan bilik gelap, guna langsir blackout atau eye mask dan kurangkan penggunaan telefon pintar," ujar Dr Asyraf.
Cahaya terang dan skrin telefon mengganggu penghasilan melatonin, hormon penting untuk membantu kita tidur.
Tanpa tidur berkualiti, badan menjadi lemah, mudah jatuh sakit dan emosi terganggu.
Badan perlukan masa untuk berehat daripada makanan.
2. Kawal pemakanan
Ramai yang suka mengunyah atau menikmati snek manis dan bergoreng ketika berjaga malam.
Namun, makan pada waktu tubuh sepatutnya berehat boleh mengacau sistem penghadaman dan paras gula darah.
"Kalau lapar, minum air kosong. Elakkan snacking waktu malam. Badan perlukan masa untuk berehat daripada makanan juga," jelas Dr Asyraf.
Amalan itu bukan sahaja bantu kawal berat badan, malah mampu cegah risiko penyakit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Pergerakan fizikal membantu mengurangkan ketegangan otot akibat kerja berpanjangan.
3. Cari masa senaman
Aktiviti fizikal ringan seperti joging, hiking, breezewalk atau berenang sekurang-kurangnya 30 minit sehari sudah memadai.
Jangan tunggu waktu lapang kerana kesihatan tak menunggu kita.
"Senaman boleh bantu kurangkan stres dan bantu tubuh kita stabilkan hormon semula," tambah beliau.
Pergerakan fizikal juga membantu mengurangkan ketegangan otot akibat kerja berpanjangan, serta menjadikan tidur lebih nyenyak.
Ramai yang bekerja syif malam atas faktor keperluan hidup.
Namun, menjaga kesihatan bukan sesuatu yang boleh ditangguh, seperti yang diingatkan oleh Dr Asyraf Sam.
"Kerja kita boleh diganti, tapi kesihatan kita, tiada siapa yang boleh ganti." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram