Nikita Willy hantar anak kelas gimnastik, sedia makanan sihat, cara bantu tinggi dengan baik


  • Bonda
  • Sabtu, 26 Jul 2025

Nikita Willy berkongsi tip keibubapaan yang diamalkannya demi memastikan tumbesaran anak sulung berada pada tahap terbaik.

PELAKON popular Indonesia, Nikita Willy sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila berkongsi tip keibubapaan diamalkannya demi memastikan tumbesaran anak sulung, Issa Xander Djokosoetono berada pada tahap terbaik.

Menerusi satu hantaran di Instagram, Nikita tampil berkongsi tiga langkah yang dilaksanakan bagi menyokong perkembangan ketinggian anaknya yang kini berusia tiga tahun.

1. Daftar kelas gimnastik

Nikita berkata, beliau mendaftarkan anak ke kelas gimnastik kerana mengetahui bahawa aktiviti melompat dan berlari dapat merangsang pertumbuhan ketinggian anak.

BACA LAGI: 'Cara susun barang di dapur pun kena judge', wanita rimas mentua kerap datang rumah, nak luah bimbang suami kecil hati

BACA LAGI: Suami enggan lepas walau sudah lafaz taklik, peguam syarie jelas prosedur perlu isteri lakuka

Tidak hanya itu, aktiviti fizikal secara berkala turut menguatkan otot dan tulang anak kecil yang sedang membesar.

2. Tidur lebih 10 jam

Rehat yang cukup penting untuk proses pembaikan dan pertumbuhan badan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

Nikita menekankan bahawa rutin tidur yang konsisten juga membantu kestabilan emosi dan mood Issa setiap hari.

3.Nutrien penting secara konsisten

Menurut Nikita, beliau turut mendapatkan nasihat daripada pakar pediatrik bagi memastikan pemakanan anaknya lengkap dan seimbang.

Pemilihan nutrien pula dilakukan secara teliti agar menyokong bukan sahaja ketinggian, tetapi juga kesihatan dalaman dan perkembangan otak.

Menurut Nikita, nasihat daripada pakar pediatrik bertujuan memastikan pemakanan anaknya lengkap dan seimbang.

“Saya dapat ketenangan fikiran sebagai ibu apabila tahu ketinggian Issa kini berada di tahap yang sesuai dengan usianya. Sebagai ibu, I know I’m doing my best,” katanya.

Dalam perkongsian sebelum ini, isteri kepada Indra Priawan itu turut menekankan pentingnya menjaga sistem imun anak.

Katanya, berat badan Issa mudah menurun setiap kali jatuh sakit dan itu memberi kesan kepada tumbesaran keseluruhan.

“Setiap kali Issa sakit, berat badannya tak naik, malah kadang-kadang turun. Jadi saya fokus supaya dia tak mudah sakit,” jelasnya.

Bagi menangani isu itu, doktor anaknya menyarankan pengambilan 600 IU vitamin D setiap hari bagi menguatkan sistem imun serta menyokong tumbesaran yang lebih baik.

Nikita turut meluahkan keprihatinannya apabila mengetahui bahawa 70 peratus kanak-kanak Indonesia kekurangan vitamin D, sesuatu yang membangkitkan rasa tanggungjawab sebagai ibu.

“Yang buatkan aku semakin sedih, ternyata 70 peratus anak Indonesia kekurangan vitamin D. Dari situ aku sedar kena lakukan sesuatu,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian pelakon filem Gasing Tengkorak itu dihujani komen positif daripada para peminat terutamanya golongan ibu yang terinspirasi dengan pendekatannya.

Seorang pengguna, Jopel_26 memuji Nikita dan suaminya sebagai pasangan yang intelektual dan bijak dalam membesarkan anak.

“Saya suka sekali ilmu keibubapaan Nikita Willy dan suaminya... benar cerdas dan intelektual. Saya rasa Nikita antara selebriti terbaik," katanya.

Seorang lagi pengguna, Araauni pula memuji pendekatan Nikita yang sering dijadikan inspirasi.

“Ibu Niki sentiasa memberi inspirasi! Tidak hairanlah dia menjadi contoh teladan bagi ramai ibu moden," katanya.

Untuk rekod, Issa Xander merupakan anak pertama Nikita Willy bersama Indra Priawan dan dilahirkan pada 7 April 2022.

Pasangan sama cantik sama padan itu juga menyambut kelahiran anak kedua mereka, Nael Idrissa Djokosoetono pada 15 Disember 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram