
HIDUP berumah tangga sepatutnya menjadi ruang membina keselesaan dan ketenangan di samping pasangan tercinta.
Namun bagi seorang wanita, situasi bertukar menjadi tekanan apabila keluarga mentua terlalu kerap bertandang ke rumah sehingga ruang peribadi dirasai semakin 'terhimpit'.
Menerusi hantaran yang mencuri perhatian di laman Threads, Acdfqc meluahkan rasa rimas dan keletihan mental apabila rumahnya seolah-olah tidak lagi menjadi tempat privasi.
“Sekarang saya mula rasa tak ada masa langsung untuk diri sendiri. Saya kerja office hour dan masa cuti satu-satunya peluang nak rehat, luang masa dengan suami, buat spring cleaning atau jemput kawan sendiri datang rumah. Tapi semua itu terganggu sebab keluarga mentua asyik datang,” luahnya dalam hantaran tersebut.
BACA LAGI: Suami enggan lepas walau sudah lafaz taklik, peguam syarie jelas prosedur perlu isteri lakukan
Menurut wanita itu, dalam tempoh hanya satu setengah bulan, keluarga mentua sudah datang sebanyak tiga kali, berbanding keluarganya sendiri yang hanya bertandang dua kali setahun.
Wanita tersebut turut menyatakan rasa kurang senang apabila ahli keluarga mentua bertindak menggunakan dapurnya seolah-olah milik sendiri, bahkan sering mempersoalkan caranya menyusun peralatan dapur.
“Rumah saya ini kondominium saja. Ruang memang terhad. Tapi bila mereka datang, dapur pun jadi tempat mereka ‘mengadili’ saya. Cara saya susun barang pun dipertikai dengan cakap, ‘kenapa tak buat macam ni?’, ‘guna yang ni lagi bagus’. Itu dapur saya kot?,” luahnya.
Katanya lagi, beliau berasa serba salah untuk menyampaikan perkara itu kepada suami kerana bimbang disalah erti sebagai seorang tidak mesra keluarga.
“Kalau saya tegur, suami mesti terasa. Dia akan cakap, ‘keluarga awak pun datang’. Tapi keluarga saya datang dua kali je setahun. Ini tiga kali dalam 1.5 bulan,” jelasnya, katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya tampil memberi sokongan moral serta berkongsi pengalaman dan pandangan masing-masing.
Sorang pengguna, Aleenashafinaz berkata, beliau pernah melalui situasi sama dan menegaskan hanya komunikasi jujur dengan suami mampu menyelesaikan perkara itu.
“Memang kena bagitahu suami. Dulu saya pun bergaduh besar juga, tetapi lepas itu mereka dah tak berani datang sesuka hati. Kena tegas untuk jaga ruang dan mental kita sendiri," katanya.
Sementara itu, Izyante menekankan kepentingan suami memainkan peranan dalam menjaga keselesaan isteri di rumah sendiri.
“Jika isteri tidak lagi selesa di rumah sendiri, itu bukan perkara kecil. Rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat. Jika suami tidak bertindak, dia telah mengabaikan tanggungjawabnya,” katanya.
Izyante turut mencadangkan agar wanita tersebut memberikan alasan tertentu sekiranya tidak mahu menerima kehadiran keluarga mentua buat sementara waktu.
"Kalau tak mampu cakap terus, boleh guna alasan halus, contohnya kata ada tetamu lain nak datang, ada orang nak repair rumah atau ada plan dengan suami,” katanya.
Namun begitu, ada juga yang menyedari betapa sukarnya untuk meluahkan perkara sebegini secara berdepan, terutama dalam keadaan emosi yang tertekan.
“Saya boleh nampak awak sendiri tak tahu nak cakap macam mana dekat suami. Saya cadangkan cuba minta tolong ChatGPT rangka ayat elok-elok. Bila tengah stres, kita memang susah nak susun ayat dengan baik walaupun niat kita ikhlas,” kata Ibunakventingje.
Sementara itu, Jaafarisrad pula mengambil pengajaran daripada kisah itu dan menyatakan akan berusaha menjadi mentua yang lebih empati dan memahami dalam masa hadapan.
“Bila baca ni, saya dan isteri terfikir... kalau suatu hari nanti kami jadi mentua, kami kena lebih sensitif. Hormat ruang anak dan menantu. Privasi mereka bukan tempat kita ceroboh," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram