
INGIN diri dihormati, kita perlu belajar menghormati orang terlebih dahulu.
Tiada siapa suka dipandang rendah atau tidak dihargai. Namun, realitinya, kita tidak akan selalu menerima penghormatan seperti yang kita harapkan daripada orang lain.
Sering kali, kita terlalu mengharapkan pengiktirafan daripada orang luar, sehingga terlupa bahawa harga diri datang daripada dalam.
Kebergantungan terhadap pengesahan (validation) luar adalah tanda bahawa seseorang mungkin sedang bergelut dengan rasa tidak yakin dan ego yang belum terurus.
Apabila kita benar-benar sedar bahawa kita tidak perlu bergantung kepada pendapat orang lain untuk merasa cukup dan bernilai, di situlah bermulanya kesedaran diri sebenar. Dan itulah kunci kepada kawalan diri yang sihat.
BACA LAGI: Remaja boleh jadi pesakit mental jika habiskan masa 2 jam di media sosial setiap hari
Dalam sebuah video berjudul The Art of Influence di YouTube, saluran BBC Maestro, pakar komunikasi Evy Poumpouras berkongsi beberapa nasihat penting tentang bagaimana untuk membina penghormatan terhadap diri sendiri dan berhenti sifat mudah terasa.
Kawalan diri (self-regulation) merujuk kepada keupayaan untuk mengurus emosi dan memberi tindak balas yang terkawal terhadap situasi yang mencabar.
Ia mencerminkan sejauh mana kita mampu bertindak secara bijak tanpa membiarkan emosi menguasai tindakan.
Mereka yang memiliki tahap kawalan diri yang tinggi lazimnya juga menunjukkan kematangan emosi yang lebih mendalam.
Menurut Evy, apabila seseorang berdepan dengan situasi diri diperlekehkan, terdapat dua jenis tindak balas:
Reaktif
Bertindak balas secara spontan, ikut emosi. Orang yang reaktif jarang sedar bahawa tindak balas mereka boleh memberi kesan kepada orang lain. Ini mencerminkan tahap kawalan diri yang rendah, dan biasanya timbul daripada keinginan untuk sentiasa disahkan oleh orang luar.
Responsif
Ambil masa untuk memahami emosi yang dirasai. Mereka tidak menolak emosi, tetapi memprosesnya dengan tenang sebelum bertindak. Tindakan responsif membolehkan seseorang mengekalkan maruah dan kawalan diri, tanpa membiarkan emosi luar menguasai keputusan.
Jika anda jenis yang mudah ‘trigger’, ini langkah pertama yang boleh diamalkan:
1. Berhenti sejenak. Jangan buat atau kata apa-apa.
2. Menjauhkan diri buat sementara dari punca emosi memberi ruang untuk bertenang dan menilai semula situasi. Tempoh ini berbeza bagi setiap orang—boleh jadi beberapa minit, jam, atau hari.
3. Dalam masa itu, layan diri dengan lembut. Anda sedang mengelakkan diri daripada memindahkan (projecting) emosi negatif kepada orang lain.
Apabila fikiran sudah tenang dan anda mampu menilai keadaan dengan lebih jelas, barulah beri respons. Di situlah letaknya titik permulaan pembinaan harga diri (self-respect) yang sebenarnya.
Emosi itu berjangkit, kawalan diri itu pilihan
Perasaan negatif boleh berjangkit. Jika dibiarkan tanpa dikawal, ia boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.
Salah satu cara terbaik untuk melepaskan tekanan emosi adalah dengan bergerak secara fizikal, sama ada melalui senaman ringan, berjalan kaki atau apa jua aktiviti yang membantu mengalirkan emosi keluar dari tubuh.
Jika anda seorang yang beradab, penyayang dan stabil secara emosi, ia akan terserlah melalui tingkah laku dan kawalan diri.
Dari situ, penghormatan akan datang dengan sendirinya—bukan kerana diminta, tetapi kerana anda telah membuktikan bahawa anda layak dihormati.
Kesimpulannya, kawalan diri bukan sekadar menahan marah atau sedih. Ia adalah seni menjaga kesejahteraan dalaman dan langkah pertama menuju hidup yang lebih seimbang, tenang serta bermaruah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram