'Tolong, aku penat!', lelaki kecewa kekasih impikan hubungan tidak realistik, media sosial jadi punca


  • Cinta
  • Rabu, 23 Jul 2025

Jangan jadikan konten media sosial sebagai kayu pengukur kepada kebahagiaan hubungan sendiri. - Gambar Hiasan/Freepik

TOPIK jodoh sering menjadi bualan hangat di media sosial. Baru-baru ini di Threads, seorang pengguna bernama ddaedd___ memuat naik tangkap layar perbualan dengan teman wanitanya, bersama kapsyen ringkas tetapi sarat emosi, “Tolong, aku penat!”

Dalam perbualan itu, teman wanitanya meluahkan rasa kurang kasih sayang, seolah-olah lapar perhatian.

Untuk menyokong luahannya, dia sertakan sekali tangkap layar komen pengguna lain di TikTok, seolah-olah ingin mencari 'validation' bahawa bukan hanya dia berperasaan begitu. 

BACA LAGI: Wanita rasa terabai, teman lelaki terlalu leka permainan video sampai 7 jam, jejas keharmonian hubungan

BACA LAGI: 'Terima kasih, betapa besarnya makna ini untuk saya', sambut ulang tahun sendirian, gadis terharu, staf kedai hadiahkan manisan coklat

Tindakan ini telah mencetus pelbagai reaksi daripada pengguna lain yang menjadikan media sosial sebagai punca kepada idea percintaan tidak realistik. 

Tiada cinta sempurna

Kita mudah terpengaruh dengan hubungan pasangan selebriti atau pempengaruh yang hanya memaparkan sisi indah kehidupan mereka. 

Akibatnya, kita termakan dengan naratif cinta tanpa konflik yang secara jelasnya bukan realiti sebenar. 

Media sosial adalah medium penghubung antara kita dengan orang tersayang. Namun jika tidak dikawal, ia boleh menjadi punca hubungan menjadi renggang. 

Secara ringkasnya, ada lima kesan media sosial terhadap perhubungan.

1. Interaksi fizikal semakin berkurang

Kajian oleh Universiti Prince Sattam bin Abdulaziz, Arab Saudi mendapati 59 peratus daripada 300 peserta mengakui penggunaan media sosial yang berlebihan melemahkan kemahiran sosial mereka.

Ramai menjadi tidak selesa berdepan konflik, kurang empati dan sukar menyelesaikan masalah secara matang.

2. Terlalu banyak menganalisis hingga jadi cemas

Pengalaman lepas membuatkan kita cenderung untuk 'overthink' mengenai pasangan kita. Perangai yang dahulunya dianggap comel, kini seakan-akan memualkan hanya kerana ia 'trending' di TikTok.

Kita mula melihat kekurangan kecil sebagai alasan besar untuk tidak mencintai, tanpa sedar bahawa kita sendiri pun tidak sempurna.

3. Perbandingan sosial mencetus rasa tidak puas hati

Kita hanya paparkan momen indah di media sosial dan bukan realiti sebenar. Bila nampak pasangan lain bahagia, pergaduhan kecil terasa besar dan hubungan sendiri kelihatan gagal.

Hakikatnya, setiap pasangan menempuh cabaran tersendiri. Cuma mereka tidak memuat naik babak itu.

4. Membuka pintu kepada orang ketiga

Apabila hubungan tegang, meluahkan perasaan pada orang lain mungkin rasa melegakan. Tapi ini boleh menjadi permulaan kepada hubungan baru yang seterusnya meretakkan hubungan sedia ada. 

Kadang-kadang, yang kita perlukan hanyalah ruang dan komunikasi yang telus. 

5. Menjejaskan kesejahteraan diri

Ketagihan media sosial bukan sekadar menjejaskan hubungan, malah keseimbangan emosi dan kesihatan mental. 

Kita jadi mudah cemas, cepat hilang fokus dan terlalu bergantung kepada 'validation' daripada orang luar.

Jadi lebih realistik

Cinta tidak lahir dari ‘likes’, ‘shares’ atau komen orang lain. Ia lahir dari kejujuran, komunikasi dan usaha memperbaiki diri antara dua hati.

Gunakan media sosial sebagai alat dan bukannya ukuran. Kerana pada akhirnya, jodoh bukan tentang siapa yang nampak paling serasi di internet, tapi siapa yang sanggup kekal ketika berhadapan dengan keadaan paling sukar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram

Jodoh, Pasangan, Media Sosial, Influencer