[VIDEO] Perkongsian hati Timur Gabriel, dari trauma kanak-kanak ke impian bahagiakan ibu


  • Bonda
  • Khamis, 24 Jul 2025

Timur Gabriel tersenyum bangga memenuhi janji masa kecilnya untuk membawa kebahagiaan kepada keluarga.

BAYANGKAN seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun, tiba-tiba kehilangan segala-galanya yang pernah dikenalinya sebagai rumah.

Dunia yang dahulunya penuh keselesaan bertukar menjadi ketidakpastian, namun di dalam hati kecil itu, lahirnya tekad untuk mengubah nasib keluarganya.

Timur Gabriel, anak kepada penyanyi legenda Zainal Abidin, yang kini menetap di Jerman sebagai pelakon.

BACA LAGI: [VIDEO] Pempengaruh ubah bilik belakang jadi rumah kucing, siap pasang cermin pantau dari dapur

BACA LAGI: Dekorasi kediaman cerminan personaliti, setiap elemen refleksi kecenderungan mental, emosi

Melalui perkongsian di Instagram, Timur menceritakan perjalanan hidupnya yang penuh cabaran, trauma zaman kecil dan janji untuk memberikan kehidupan lebih baik kepada ibunya.

Ibu kepada Timur ialah Yvonne Gabriel, bekas model yang kerap menghiasi halaman majalah fesyen sekitar tahun 1990-an dan awal 2000-an.

Kini seorang pelakon sedang membina nama di Jerman, Timur telah dilahirkan dalam keluarga kelas pertengahan yang pada awalnya penuh kebahagiaan.

"Saya dilahirkan dalam keluarga kelas tengah yang sempurna dan selesa. Tetapi disebabkan beberapa kejayaan yang tidak dijangka, ibu saya, abang saya dan saya terpaksa meninggalkan keluarga kami dengan tiada apa-apa lagi yang ada di belakang kami."

Pada usia tujuh tahun, Timur menghadapi realiti pahit kehilangan yang meninggalkan kesan mendalam dalam jiwanya.

Trauma itu, bagaimanapun, menjadi titik tolak untuk tekadnya yang luar biasa.

Ibu Timur menjadi tunjang kekuatan keluarga walaupun menghadapi pelbagai kesusahan.

Seorang ibu tunggal, beliau membesarkan Timur dan abangnya dengan penuh ketabahan, walaupun kesihatannya terjejas.

Timur mengenang, "Ibu saya yang terpaksa menjalankan kehidupan bersendirian, membesarkan abang saya dan saya melalui banyak kesusahan.

"Kecemasan yang menyebabkan dia menjadi penyakit, tetapi dengan segala kemungkinan, dia bertahan."

Perjuangan ibunya menjadi pendorong utama baginya untuk berjanji memberikan kehidupan yang lebih baik.

Pada usia 10 tahun, Timur membuat janji yang besar. "Saya beritahu ibu saya, bahawa saya akan membeli rumah yang indah untuknya dan suatu hari nanti, kita akan hidup dengan selesa sebagai keluarga yang gembira semula.

"Tak perlu risau tentang perbelanjaan dan tak perlu bergantung kepada sebarang lelaki."

Dengan tekad yang membara, Timur bekerja keras dan bijak untuk memenuhi janjinya.

Selepas bertahun-tahun berusaha, dia akhirnya berjaya membeli rumah selesa untuk ibunya, mengembalikan kebahagiaan yang pernah dirampas.

Dalam perkongsiannya, dia berkata, "Selepas bertahun-tahun melakukan segala-galanya dengan kuasa saya untuk mengembalikan kita, saya akhirnya dapat hidup dengan janji saya."

Dalam kapsyen Instagramnya, Timur dengan rendah hati berkongsi kegembiraannya: "Ramai yang tidak mengenali saya menganggap saya dibesarkan dalam kemewahan, tetapi sebahagian besar hidup saya dihabiskan untuk memastikan keluarga saya selamat dan bahagia."

Dia mengakui cabaran perjalanannya, "Mengatasi trauma zaman kecil, kekurangan keyakinan terhadap orang lain dan diri sendiri adalah sukar," namun kejayaannya membuktikan bahawa ketabahan dan cinta keluarga mampu mengubah nasib.

Timur mengajak peminat untuk terus mengikuti perjalanannya, menjanjikan lebih banyak cerita tentang "keluarga Gabriel baharu."

Perkongsian itu bukan sekadar tentang kejayaan material, tetapi tentang hati yang tidak pernah menyerah.

Seperti yang Timur katakan, "Ini adalah bahagian satu dari permulaan baru." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram