'Saya tak beri dia laluan khas', Bernard Chandran izin anak sambung legasi tetapi mesti bermula dari bawah


  • Gaya
  • Khamis, 24 Jul 2025

Bernard tahu bukan mudah mewariskan sesuatu yang telah dibina dengan peluh dan air mata. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

DI sebalik setiap helaian fabrik yang dijahit kemas, tersembunyi kisah-kisah peribadi jarang diketahui ramai.

Kisah Bernard Chandran dan anak lelakinya bukan sekadar tentang pakaian cantik atau pertunjukan di pentas gah.

Ia adalah cerita tentang warisan, prinsip dan bagaimana satu legasi dibentuk bukan dengan nama, tetapi dengan kefahaman.

BACA LAGI: Larian Kidslympic KL 2025 diiktiraf KPM, peserta layak terima markah kokurikulum

BACA LAGI: Debut anak sulung Bernard Chandran sebagai pereka, Tanestrran anggap detik penghargaan buat bapa

Di satu sudut tenang ruang kerja Bernard Chandran yang selalunya dipenuhi warna, tekstur dan siluet eksperimental.

Terdapat seorang anak muda yang kini mula menyingsing lengan bukan sebagai pengganti ayahnya, tetapi sebagai individu untuk memahami, belajar dan menghormati proses.

"Dia (anak) bukan bekerja untuk jenama Bernard Chandran sekarang, tetapi bersama saya.

"Dia adalah sebahagian daripada pasukan,” ujar Bernard tenang, menggambarkan kedudukan sebenar anaknya dalam struktur syarikat kepada Majoriti.

Bertahun-tahun anaknya menghabiskan masa mendalami bidang psikologi di Amerika.

Namun, siapa sangka, hatinya terpaut kepada bidang fesyen iaitu dunia yang selama ini diperhatikan dari belakang tabir sebagai anak kepada salah seorang nama besar dalam industri rekaan tempatan.

Bernard tidak melihat hal itu sebagai sesuatu yang mudah.

Malah, beliau cukup tegas bahawa anaknya perlu bermula dari bawah dengan mengenal setiap aspek rekaan seumpama mana pekerja lain.

"Saya tak beri dia laluan khas. Dia perlu tahu kenapa fabrik digulung begini, kenapa potongan dibuat sebegitu rupa dan semuanya.

"Saya pun dulu ibu saya tak beri jalan mudah,” tambahnya sambil ketawa kecil.

Beach Culture Men's Fashion Show Spring Summer 2026 at M ResortHotel Kuala Lumpur.— MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Bernard Chandran. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Bagi Bernard, apa yang lebih penting daripada cita rasa fesyen adalah prinsip.

Fesyen bukan hanya soal gaya atau trend, tetapi soal memahami siapa diri kita dan apa yang kita mahu sampaikan melalui setiap rekaan.

"Saya pesan pada anak saya, jangan sesekali berkompromi. Kita generasi pertama dalam industri ini. Kita kena buat dengan betul, dengan jujur," katanya serius.

Beliau juga mengingatkan bahawa memahami konteks Asia Tenggara, budaya tempatan dan latar belakang masyarakat adalah asas penting dalam membentuk identiti rekaan.

"Kalau rekaan kita terlalu berwarna, terlalu berlainan, biar. Itu keunikan kita. Jangan sesekali malu dengan siapa kita," tambah beliau penuh yakin.

Anaknya mungkin masih belum mereka secara penuh, tetapi Bernard melihat potensi besar.

Sebagai seseorang yang bukan datang dari latar rekaan, tetapi dari psikologi, anaknya membawa pendekatan berbeza.

Ia perkara yang Bernard sendiri anggap sebagai kekuatan baharu dalam pasukannya.

"Dia sangat teliti. Dia ada mata yang tajam, dan paling penting, dia faham bahasa saya. Bila saya kata bahasa, maksud saya bukan bahasa pertuturan, tapi bahasa seni," jelas Bernard, tersenyum bangga.

Mereka kini bersama-sama membangunkan Bernex London, jenama adik kepada label utama Bernard Chandran dan melihatnya sebagai ruang eksperimentasi serta penjenamaan semula kepada khalayak global yang lebih muda dan kontemporari.

Dalam dunia fesyen yang laju dan berubah setiap musim, Bernard percaya langkah perlahan dan konsisten lebih penting daripada populariti sesaat.

"Saya tak kejar jadi tajuk utama. Saya cuma mahu bina sesuatu yang bertahan dan kalau anak saya nak warisi, dia kena faham sepenuhnya. Bukan sekadar masuk dan ambil alih," katanya dengan nada jujur.

Bernard tahu bukan mudah mewariskan sesuatu yang telah dibina dengan peluh dan air mata.

Namun jika ada satu nilai yang beliau mahu kekalkan dalam keluarga dan perniagaannya, ia adalah kejujuran dalam mencipta dan keberanian untuk berdiri dengan identiti sendiri.

"Kalau ada satu perkara yang saya mahu dia bawa ke depan, ia adalah fahami jiwa seorang pereka, dan jangan sesekali berkompromi," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram