
PEMILIHAN gaya dekorasi bukan sekadar soal citarasa semata-mata.
Ia seringkali dipengaruhi oleh siapa diri kita, bagaimana kita berfikir dan beremosi malah, sesetengah individu percaya, bintang kelahiran juga memainkan peranan.
Dalam dunia rekaan dalaman moden, semakin ramai pemilik kediaman mula merujuk kepada sifat atau gaya peribadi yang selesa di jiwa.
BACA LAGI: Debut anak sulung Bernard Chandran sebagai pereka, Tanestrran anggap detik penghargaan buat bapa
BACA LAGI: Larian Kidslympic KL 2025 diiktiraf KPM, peserta layak terima markah kokurikulum
Kecenderungan mental dan emosi seseorang amat mempengaruhi kehidupan persekitarannya, termasuklah cita rasa di dalam menghias kediaman.
Rumah adalah ruang selamat dan ia menjadi cerminan kepada siapa diri anda sebenarnya.
Berani dan bersemangat
Pemilik tenaga positif ini amat cenderung untuk memilih ruang yang dinamik dan 'bold'.
Mereka berani mengguna pakai palat dari warna-warna hangat seperti merah bata dan oren terang bagi memeriahkan kediaman sedia ada.
Kemasan logam seperti tembaga atau emas ros menambah elemen keberanian yang menyerlah.
Ruang kerja mereka biasanya ringkas tetapi efisien, mencerminkan keperibadian yang sentiasa ingin maju ke hadapan.
Mahu keselesaan, impikan kemewahan
Jika anda tergolong daripada penggemar barangan 'luxury', maka kemungkinan besar anda lebih terpesona pada unsur-unsur alam semula jadi yang eksotik.
Contohnya seperti batu marmar, kayu asli dan tumbuhan dalam rumah antara elemen wajib ada di dalam kediaman.
Mereka juga cenderung memilih tekstur lembut, warna tanah seperti coklat muda, zaitun dan hijau lumut, serta perabot-perabot rekaan pereka masyhur yang berkualiti tinggi.
Praktikal dan urban
Penuh idea dan sukakan perubahan, golongan ini memerlukan ruang yang fleksibel.
Dekorasi mereka biasanya berlapis-lapis, dengan campuran tekstur, corak dan aksesori yang unik.
Dinding galeri atau rak buku terbuka sering menjadi tumpuan, mempamerkan pelbagai minat yang berubah dari masa ke masa.
Warna-warna ceria seperti kuning lembut, biru aqua dan kelabu cerah mencerminkan sifat ingin tahu mereka.
Kediaman adalah ruang emosi
Jika anda melihat rumah sebagai tempat perlindungan emosi, maka kediaman anda pastinya dipenuhi dengan barangan sentimental.
Objek seperti bingkai gambar keluarga dan barangan lama berupa harta pusaka sering mendominasi ruang, memperlihatkan nilai nostalgia yang mendalam.
Hiasan dalaman biasanya lembut, dengan pencahayaan malap dan kusyen empuk yang memberi rasa selamat.
Warna pastel seperti biru muda, krim dan hijau pudina menjadi pilihan.
Dramatik, penuh karisma
Glamor menjadi kata kunci kepada stail menghias rumah oleh golongan yang bersifat sebegini. Perabot dengan garisan berani, cermin besar dan karya seni berskala besar mencerminkan personaliti mereka.
Warna-warna berani seperti emas, ungu diraja dan hitam berkilat menyingkap suasana intim. Ruang tamu pula ibarat pentas kerana setiap inci dirancang untuk memberi impak visual.
Pencahayaan lembut, langsir tebal dan bahan seperti baldu atau kulit menambah nuansa dramatik.
Pencinta kesimbangan dan keindahan
Mereka menyukai simetri, warna lembut dan elemen artistik yang harmoni. Warna seperti biru kelasi, ros pastel dan perak menjadi pilihan.
Dekorasi mereka sering mempunyai gabungan moden dan klasik dengan cermin dinding berbingkai elegan atau lampu gantung artistik menjadi titik tumpu. Setiap ruang tampak berseni dan seimbang.
Perabot berkualiti, susun atur yang logik dan pencahayaan strategik menjadikan ruang mereka efisien dan eksklusif. Tidak keterlaluan, tetapi setiap elemen ada nilainya.
Jiwa bebas
Sifat golongan ini suka meneroka, oleh itu rumahnya juga banyak ruang luas terbuka. Mereka gemar membawa elemen pelancongan ke dalam rumah seperti karpet tribal, barangan etnik dan warna-warna tanah.
Gaya bohemian moden atau rustik tropika sangat sesuai, menjadi tanda kenangan kepada pengalaman melancong atau merantau ke tanah asing.
Bila ruang kediaman dibentuk mengikut jiwa pemiliknya, hasilnya bukan sahaja sedap dipandang tetapi memberi kepuasan sebenar. Biarlah ruang anda menjadi refleksi paling jujur kepada siapa anda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram