
RAMAI yang membela kucing, tetapi tak sanggup ubah suai rumah demi keselesaan si comel.
Berbeza dengan pempengaruh media sosial @iamrashidirashid nekad menukar bilik belakang dapurnya menjadi rumah kucing khas, lengkap dengan sistem pengudaraan, struktur bertingkat, tempat rehat dan dinding cermin untuk pemantauan dari dapur.
Dalam satu hantaran video tular di Instagram, Rashidi berkongsi 'house tour' lengkap ruang eksklusif buat 11 ekor kucing peliharaannya.
BACA LAGI: Debut anak sulung Bernard Chandran sebagai pereka, Tanestrran anggap detik penghargaan buat bapa
BACA LAGI: Larian Kidslympic KL 2025 diiktiraf KPM, peserta layak terima markah kokurikulum
Dua zon, dua fungsi
Transformasi itu dibahagikan kepada dua bahagian utama:
- Zon pertama berfungsi sebagai kawasan penyimpanan barangan kucing seperti:
- Pengangkut dan kereta sorong kucing
- Stok makanan (campuran tiga jenis makanan kering)
- Pasir tandas jenis tofu
- Ubat-ubatan asas
- Sebuah meja kerja kayu dengan rak terbuka
Kelihatan dalam perkongsian itu, kawasan tersebut diasingkan menggunakan pagar besi berjaring yang membolehkan pengudaraan dan cahaya masuk supaya kekal praktikal.
Zon kedua adalah kawasan utama yang menempatkan kesemua 11 ekor kucing.
Di sinilah terletaknya semua kemudahan hidup, bermain dan rehat hasil rekaan buatan khas oleh Rashidi sendiri.
Ciri-ciri unik dan menarik rumah kucing
Apa yang menjadikan ruang itu benar-benar luar biasa adalah perincian dan fungsi setiap sudutnya.
1. Struktur kayu tempahan khas
Semua perabot termasuk pelantar, sangkar dan tangga diperbuat daripada kayu semula jadi yang direka khas mengikut ruang.
2. Tangga dan laluan bertingkat
Dinding rumah kucing dilengkapi laluan kayu bertingkat untuk aktiviti fizikal. Ia direka supaya kucing dapat memanjat, bermain dan mengelakkan kebosanan.
Selain itu, kucing suka tempat tinggi, memberi rasa selamat dan dominasi.
3. Sangkar pengasingan
Satu ruang bertutup dibina untuk mengasingkan kucing yang kurang sihat atau perlu berehat daripada kumpulan.
4. Pintu dan dinding besi berjaring
Memisahkan ruang dapur dan rumah kucing tetapi membenarkan penglihatan dan udara keluar masuk.
5. Petak cermin pemantauan dua hala
Dibina pada dinding yang memisahkan dapur dan rumah kucing. Pemilik boleh lihat kucing dari dapur, kucing pun dapat lihat tuan mereka.
6. Sistem pengudaraan lengkap
Gabungan tingkap, pintu sentiasa terbuka, kipas dan penapis udara. Empat gabungan itu berfungsi supaya udara kekal segar, bau kurang dan kesihatan terpelihara.
7. Ruang rehat, bermain dan mencakar
Beberapa platform dan pelantar dibina sebagai tempat makan, minum, bermain, mencakar dan tidur. Ia memberi variasi aktiviti harian dan elakkan tekanan.
Ruang hidup bertaraf eksklusif
Gabungan kesemua ciri itu menjadikan rumah kucing Rashidi bukan sekadar ruang peliharaan, tetapi satu sistem kehidupan yang lengkap, menekankan aspek keselesaan, kebersihan dan hubungan mesra antara manusia dan haiwan.
Ruang itu bukan sahaja kemas dan cantik, tetapi praktikal membolehkan semua keperluan 11 ekor kucing diuruskan dengan teratur dan mudah.
Walaupun jumlah kos belum dikongsikan, jelas komitmen Rashidi terhadap kesejahteraan haiwan peliharaannya sangat tinggi.
Ramai yang terinspirasi dan mula mengimpikan rumah kucing seperti ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram