
LUMUT kerap disalah anggap sebagai petanda kawasan lembap atau tidak terurus. Malah, pohon menjalar juga diibaratkan sebagai tumbuhan yang menyemakkan ruang.
Namun, di sebalik bentuknya yang sederhana dan tumbuh senyap tanpa banyak ragam, lumut menyimpan potensi luar biasa ramai tidak ketahui.
BACA LAGI: Debut anak sulung Bernard Chandran sebagai pereka, Tanestrran anggap detik penghargaan buat bapa
BACA LAGI: Larian Kidslympic KL 2025 diiktiraf KPM, peserta layak terima markah kokurikulum
Bukan sahaja dalam aspek keindahan semula jadi, tetapi juga dari sudut alam sekitar dan kelestarian hidup di bandar moden.
Di tengah-tengah kota yang semakin padat dan panas, kehadiran tumbuhan kecil seperti lumut mampu memainkan peranan besar dalam menyerap karbon dioksida, menyejukkan udara dan mengurangkan pencemaran habuk.
Kajian menunjukkan lumut mampu menyerap karbon sehingga empat kali lebih tinggi berbanding pokok biasa.
Lebih menarik, lumut tidak memerlukan tanah untuk tumbuh kerana ia menyerap air dan nutrien terus daripada udara dan titisan hujan.
Ia sekali gus menjadikannya sesuai untuk pelbagai permukaan seperti dinding batu, pagar konkrit atau atap rumah.
Maka, tidak hairanlah jika banyak negara maju seperti Belanda mula menggunakan lumut secara aktif pada permukaan bangunan untuk menurunkan suhu sekitar dan memperbaiki kualiti udara.
Konsep 'dinding hidup' atau permukaan hijau ditutupi lumut bukan sahaja memberi kesan visual yang menenangkan, tetapi turut menyumbang kepada mitigasi perubahan iklim secara semula jadi.
Ia merupakan langkah kecil dengan impak yang besar dan menariknya, boleh juga dilakukan di rumah sendiri.
Bagi pemilik rumah yang mempunyai pagar batu atau dinding konkrit, membiarkan lumut tumbuh bukanlah sesuatu perlu ditakuti.
Malah, ia boleh dijadikan elemen hiasan yang organik dan menawan.
Lumut mudah tumbuh di kawasan teduh yang lembap dan ada cara mudah untuk menanam tumbuhan itu secara sengaja.
Salah satu teknik sering digunakan ialah dengan mencampurkan lumut hidup bersama sedikit yogurt atau susu mentega, kemudian disapu ke permukaan batu yang diingini.
Campuran itu bertindak seperti benih yang akan membantu lumut melekat dan bertumbuh.
Semburan air secara konsisten dan sedikit kesabaran, dinding pagar rumah boleh bertukar menjadi seni hidup yang tenang dan menyejukkan pandangan.
Selain lumut, terdapat pelbagai pilihan tumbuhan menjalar yang sesuai untuk rumah bertembok batu.
Antaranya ialah pokok duit-duit terkenal dengan daunnya yang bulat dan rimbun.
Ia bukan sahaja cantik, malah mudah dijaga dan cepat membesar.
Pokok duit-duit terkenal dengan daunnya yang bulat dan rimbun.
Tumbuhan seperti sirih gading atau ivy juga sesuai kerana sifatnya yang tahan lasak serta mampu melekap pada permukaan batu dengan baik.
Untuk suasana lebih tropika dan romantik, pokok air mata pengantin boleh dijadikan pilihan kerana bunganya yang merah jambu memberi kontras menarik pada dinding kelabu dingin.
Menanam dan membiakkan tumbuhan menjalar ini tidak memerlukan ruang tanah yang besar.
Cukup sekadar menyediakan permukaan yang sesuai, sokongan untuk ia berpaut dan sedikit baja daun jika mahu pertumbuhannya lebih rancak.
Penyiraman secara berkala, terutamanya pada waktu pagi atau lewat petang, membantu mengekalkan kelembapan tanpa membazir air.
Lebih menarik, tumbuhan menjalar dan lumut itu bukan sekadar penghias.
Ia membantu mewujudkan mikroiklim lebih seimbang, menyerap haba daripada permukaan batu yang biasanya memerangkap panas dan pada masa sama, menjadi habitat kepada serangga kecil penting dalam ekosistem.
Dalam dunia yang serba pantas dan dipenuhi konkrit, usaha menghijaukan ruang rumah walau sekadar dinding pagar merupakan bentuk kecil penghargaan terhadap alam.
Ia mungkin tidak sebesar ladang atau taman bandar, tetapi cukup untuk menyejukkan pandangan mata, menyamankan suasana dan mengingatkan kita bahawa keindahan semula jadi masih boleh wujud di celah-celah batu dan bata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram