
LARIAN Kidslympic Malaysia Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung meriah pada 22 Jun lalu menerima satu pengiktirafan penting apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan bahawa acara berkenaan layak untuk pemberian markah kokurikulum menerusi sistem PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum).
Melalui surat rasmi bertarikh 7 Julai 2025, pihak kementerian memaklumkan bahawa pelajar yang menyertai larian itu berhak menerima markah di bawah dua kategori utama, iaitu penglibatan dan pencapaian peringkat kebangsaan.
Ini sekali gus membuka peluang kepada peserta untuk mengumpul mata merit penting bagi kemasukan ke universiti awam dan sekolah berasrama penuh elit.
BACA LAGI: Beli dulu rumah kecil, simpan, sewa, kemudian baru miliki kediaman lebih mahal — Ejen hartanah
BACA LAGI: Dunia hospitaliti hasil adunan inovasi bersama budaya, M Social permata baharu Pulau Mutiara
PAJSK merupakan satu sistem pentaksiran standard yang dilaksanakan di semua sekolah rendah dan menengah sebagai usaha menilai penglibatan pelajar dalam aktiviti bukan akademik secara adil dan konsisten.
Markah yang diperoleh menyumbang sebanyak 10 peratus dalam sistem merit universiti awam di Malaysia.
Menurut Wong Kang Woon selaku Pengasas Bersama Kidslympic Malaysia, pengiktirafan itu membuktikan bahawa usaha mereka bukan sekadar penganjuran sukan semata-mata, sebaliknya satu gerakan holistik untuk memperkasakan kanak-kanak melalui penglibatan aktif dan menyeluruh dalam aktiviti kesukanan.
"Ini bukan sekadar larian, ia adalah simbol kepercayaan kami terhadap potensi setiap anak Malaysia," ujar Wong.
Larian yang menghimpunkan lebih 1,000 kanak-kanak dari pelbagai latar belakang itu diadakan dalam suasana inklusif dan menyeronokkan.
Ia direka khas untuk membina keyakinan diri serta semangat berpasukan dalam kalangan peserta muda, selari dengan slogan Kidslympic, "Dari Taman Permainan ke Podium".
Wong turut menzahirkan penghargaan kepada para ibu bapa, penjaga, pengetua serta guru-guru sekolah yang memainkan peranan penting dalam membolehkan ribuan pelajar menyertai acara itu dengan semangat tinggi dan komitmen penuh.
Dengan semangat yang dibina daripada edisi Kuala Lumpur, Kidslympic Malaysia kini dalam perancangan untuk meneruskan jelajah ke negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Selangor.
Sebagai sebuah inisiatif kebangsaan, Kidslympic Malaysia bukan sahaja memupuk budaya bersukan sejak awal usia, malah mewujudkan satu ekosistem kanak-kanak Malaysia yang aktif, sihat dan yakin selari dengan aspirasi negara dalam melahirkan generasi masa depan yang seimbang dari segi jasmani dan emosi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram