[VIDEO] 'Macam muzium mini', lelaki dekorasi lantai ruang tamu guna duit syiling


  • Hias
  • Khamis, 24 Jul 2025

Lantai unik hasil susunan duit syiling dan resin di ruang tamu Justin Flom.

BAYANGKAN masuk ke ruang tamu, lantainya bersinar seperti kaca, tapi bila diteliti rupanya disusun satu persatu menggunakan duit syiling.

Itulah yang dilakukan oleh Justin Flom, seorang pencipta kandungan yang dikenali dengan eksperimen kreatif dan kadangkala luar biasa.

Kali ini, dia membuat satu transformasi luar biasa di ruang tamunya namun bukan dengan jubin mahal tetapi menggunakan beribu-ribu keping duit syiling satu sen yang disusun sendiri dan disempurnakan dengan tuangan resin.

BACA LAGI: Kempen unik jenama permaidani India tarik perhatian dunia, gelanggang tenis jadi 'The Court of Carpets'

BACA LAGI: [VIDEO] Perkongsian hati Timur Gabriel, dari trauma kanak-kanak ke impian bahagiakan ibu

Hasilnya? Lantai yang bukan sahaja cantik dan tahan lama, tapi juga penuh nilai sentimental dan seni.

Inilah perkongsian di sebalik projek DIY paling ‘gila tapi genius’ yang tular di media sosial.

Projek itu dimulakan dengan lantai kosong biasa akan tetapi Justin nampak potensi luar biasa pada setiap inci ruang itu.

Dia mula menyusun syiling satu persatu mengikut corak tertentu seperti bentuk lingkaran, ada juga yang disusun mengikut warna dan kilauan tembaga.

Walaupun duit satu sen nampak sama, hakikatnya setiap keping punya tona berbeza kerana ada yang baharu berkilat, kusam dan patina.

Kombinasi itulah yang akhirnya memberi kesan visual dramatik pada lantai.

Tanpa mesin juga bantuan khas, Justin melakukannya seorang diri berbekalkan gam, kesabaran dan mata yang tajam.

Bayangkan betapa banyak masa dan ketekunan yang diperlukan untuk menyiapkan ruang sebesar itu.

Selepas semua duit disusun kemas, tiba masa untuk sentuhan terakhir iaitu menuang resin.

Ini bahagian paling mencabar dan memuaskan kerana Justin tuang resin jernih secara sekata ke seluruh permukaan, memastikan tiada gelembung dan tiada bahagian yang terlepas.

Apabila resin mengeras, ia membentuk lapisan seperti kaca yang melindungi dan menyerlahkan keindahan syiling-syiling di bawahnya.

Kilauan resin dan refleksi cahaya menjadikan lantai itu seolah-olah cermin bercorak, macam pameran seni tetap di dalam rumah.

Apa yang dilakukan Justin bukan sahaja untuk mencantikkan ruang tamu.

Ia juga simbol kreativiti yang tak kenal sempadan kerana dalam dunia yang makin obses dengan benda segera dan beli siap, projek macam itu membuktikan bahawa dengan sedikit kesungguhan dan imaginasi, benda biasa pun boleh jadi luar biasa.

Orang ramai yang melihat video itu di media sosial memberikan reaksi kagum, malah ada yang bercadang nak cuba buat di rumah sendiri.

Meskipum mungkin tak semua mampu tiru sepenuhnya, idea itu membuka mata tentang apa yang boleh kita cipta dengan tangan sendiri.

Duit syiling biasanya disimpan dalam tabung atau tercicir di bawah sofa.

Tapi Justin membuktikan bahawa kalau kena gaya, ia boleh jadi medium seni penuh karakter.

Projek itu bukan sekadar ubah lantai, tapi ubah cara kita pandang benda kecil dalam hidup.

Kadangkala, benda yang kita anggap remeh seperti syiling satu sen boleh menjadi permata paling berharga, kalau berani mencuba. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram