Kempen unik jenama permaidani India tarik perhatian dunia, gelanggang tenis jadi 'The Court of Carpets'


  • Hias
  • Khamis, 24 Jul 2025

Penenun wanita kampung Manpura beraksi menentang Rohan Bopanna di atas gelanggang tenis berlapik permaidani eksklusif.

JENAMA permaidani mewah dari India, Jaipur Rugs, mencuri tumpuan global apabila mengubah sebuah gelanggang tenis menjadi pentas seni luar biasa.

Dalam kempen terbaharu bertajuk 'The Court of Carpets', syarikat itu menampilkan pemain tenis tersohor India, Rohan Bopanna untuk berentap dalam perlawanan unik menentang pasukan khas terdiri daripada penenun wanita dari kampung Manpura, berhampiran Jaipur.

Gelanggang yang digunakan dalam video kempen tersebut dihiasi dengan 93 helai permaidani buatan tangan, menjadikannya bukan sekadar lokasi pertandingan, tetapi juga simbol keindahan kraftangan India.

BACA LAGI: 'Saya tak beri dia laluan khas', Bernard Chandran izin anak sambung legasi tetapi mesti bermula dari bawah

BACA LAGI: Dekorasi kediaman cerminan personaliti, setiap elemen refleksi kecenderungan mental, emosi

Kempen itu turut menjadi simbolik kepada pembukaan butik baharu Jaipur Rugs di London.

Apa yang lebih menarik, kesemua peserta dari pasukan lawan Bopanna bukanlah atlet profesional, tetapi wanita kampung yang saban hari menghasilkan permaidani.

Mereka dilatih bermain tenis oleh jurulatih dalaman syarikat, Anshul Pareek, selama beberapa minggu demi menjayakan kempen itu.

Antara penenun yang diketengahkan ialah Annu Kumari, Payal Kumari, Lalita Kumari dan Shrimati Poonam Devi.

Seorang artisan berjaya memenangi mata terakhir.

"Tak pernah terlintas dalam mimpi pun, hasil kerja tangan kami boleh membawa kami sejauh ini," luah Annu Kumari, penuh terharu.

Dengan mengenakan sari putih sebagai pakaian rasmi perlawanan, para penenun itu mempersembahkan gabungan estetika tradisional dan semangat sukan moden.

Adegan kemuncak menyaksikan seorang artisan berjaya memenangi mata terakhir, membuatkan Bopanna membaling raket sebagai simbol kekalahan sekali gus piala kejuaraan diangkat oleh wakil kampung.

Bukan sekadar permaidani, kempen itu turut memperincikan segala aspek secara teliti.

Jaring tenis diperbuat daripada buluh dan mengambil masa 15 hari untuk disiapkan.

Bola tenis khas pula dihasilkan menggunakan bulu biri-biri dari New Zealand untuk bahagian neon, manakala sutera buluh digunakan bagi bahagian putih.

Sebanyak 110 hingga 120 biji bola dihasilkan oleh para artisan, dengan purata 20 hingga 25 bola sehari.

Raket juga direka khas dengan empat unit dihasilkan sepenuhnya dalam masa sehari.

Piala kejuaraan diangkat oleh wakil kampung.

Bahagian dalamnya menggunakan sutera buluh berwarna putih klasik, sepadan dengan konsep etnik moden yang diketengahkan.

Arahan visual keseluruhan dikendalikan oleh pasukan kreatif dalaman Jaipur Rugs dengan sinematografi yang memukau dan penuh unsur budaya.

Kempen itu bukan sekadar mempromosi permaidani buatan tangan, tetapi menjadi lambang penyatuan antara warisan seni Rajasthan dan elemen kontemporari sukan global.

Ia memperlihatkan bagaimana kreativiti boleh menjadi jambatan antara dua dunia yang berbeza iaitu antara industri artisan desa dan gelanggang antarabangsa.

Menurut laporan The Economic Times, Jaipur Rugs merancang membuka dua lagi kedai di Asia Tenggara serta enam cawangan di India menjelang akhir tahun kewangan ini.

Sebuah kedai baharu juga bakal dilancarkan di Singapura dalam suku tahun ini.

Ketika ini, Jaipur Rugs memiliki butik milik penuh di Milan dan Dubai, serta kedai francais di Rusia serta China. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram