
DALAM kes penceraian, ramai wanita mungkin tidak sedar bahawa mereka berhak menuntut mut'ah iaitu sagu hati wajib yang perlu diberikan oleh bekas suami.
Namun, bukan semua permohonan mut’ah akan diluluskan begitu sahaja oleh Mahkamah Syariah.
Menerusi satu hantaran di laman TikTok, seorang peguam syarie, Rizz Iskandar tampil berkongsi penjelasan penting berkenaan enam elemen utama yang akan diambil kira oleh mahkamah dalam menilai tuntutan mut’ah.
“Mut’ah ialah sagu hati yang wajib diberikan oleh bekas suami kepada bekas isteri, sekiranya penceraian bukan berpunca daripada pihak isteri,” jelas beliau.
Berikut enam faktor utama akan dipertimbangkan oleh mahkamah:
1. Tempoh perkahwinan
Semakin lama tempoh perkahwinan, semakin besar jumlah mut’ah boleh dituntut.
Tempoh perkahwinan menunjukkan komitmen dan usaha seorang isteri dalam membina rumah tangga.
2. Punca perceraian bukan kerana isteri
Bekas isteri perlu membuktikan bahawa perceraian bukan berpunca daripada dirinya.
Jika perceraian berlaku kerana aib pada isteri seperti kecacatan fizikal yang menjejaskan hubungan suami isteri, tuntutan mut’ah mungkin tidak akan berjaya.
Namun, jika penceraian berlaku atas kesalahan atau keputusan suami, bekas isteri berhak menuntut mut’ah.
3. Pengorbanan sepanjang perkahwinan
Menurut Rizz, pengorbanan isteri sepanjang perkahwinan juga antara perkara penting.
Contohnya, isteri yang memiliki kelulusan tinggi sanggup memilih untuk berhenti kerja demi menjaga anak-anak, suami atau mengikut suami berpindah dari satu tempat ke tempat lain.
“Semua pengorbanan ini perlu ditunjukkan kepada mahkamah sebagai bukti kukuh,” kata beliau.
4. Kesan perceraian kepada bekas isteri
Faktor emosi dan sosial turut diambil kira dalam proses mut'ah.
Bekas isteri perlu membuktikan bahawa status janda telah menyebabkan kesusahan untuk memulakan hidup baru termasuk tekanan sosial dan perasaan malu.
“Walaupun ada wanita moden bangga bergelar janda, dari sudut undang-undang, kesan negatif perceraian tetap relevan untuk dipertimbangkan,” katanya.
5. Latar belakang isteri, keluarga
Latar belakang pendidikan dan kedudukan sosial isteri juga memberi impak terhadap nilai mut’ah yang boleh dituntut.
Isteri berpendidikan tinggi, mempunyai pengaruh atau datang daripada keluarga ternama mempunyai peluang menuntut mut’ah yang lebih tinggi.
“Tak semestinya kena cantik atau meletup, tapi pengaruh dan maruah keluarga juga diambil kira,” ujar beliau.
6. Kemampuan kewangan bekas suami
Faktor terakhir dan paling penting adalah kemampuan kewangan suami ketika penceraian berlaku.
Jika suami bergaji besar atau memiliki aset yang banyak, mahkamah boleh menetapkan jumlah mut’ah yang lebih tinggi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram