
SIAPA sangka dua helai sarung sofa lama boleh bertukar menjadi sebuah gaun mewah yang kelihatan seakan-akan hasil rekaan jenama mewah Versace.
Itulah yang dilakukan oleh seorang wanita, Rachel D'Cruz yang gemar mengubah suai barangan lama menjadi sesuatu yang menakjubkan.
Menerusi satu video di Instagram, Rachel berkongsi proses transformasi unik tersebut yang kini meraih lebih 8 juta tontonan.
Pada awalnya, Rachel hanya berniat menghasilkan top ringkas daripada dua kain sarung sofa vintaj yang biasa dilihat di rumah-rumah lama.
Namun, dia tidak menyangka fabrik tersebut terlalu tebal hingga menyukarkan proses menjahit.
“Saya ingatkan nak buat gaun tiub yang simple, tapi mesin jahit langsung tak boleh tembus kain ni. Saya terpaksa buka semula semua jahitan di keempat-empat penjuru,” katanya.
Projek yang dijangka siap dalam masa 30 minit akhirnya memakan masa lima jam.
Namun, usaha yang dilakukan tidak sia-sia apabila gaun yang direka tampak elegan dan ekslusif.
“Saya buat ni sekadar suka-suka. Tapi makin lama tengok, makin saya suka,” kata Rachel sambil tersenyum dalam video itu.
Dalam kapsyen, Rachel turut menjelaskan bahawa dia memang gemar mengitar semula barangan lama menjadi pakaian baharu.
“Saya tahu gaya saya mungkin tidak sesuai dengan semua orang, tetapi tak mengapa. Saya suka,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, hasil kreatif Rachel menerima pujian ramai yang terpukau melihat gaun itu.
“Saya rasa ia mampu jadi koleksi Versace,” kata Kveer_18.
“Macam mana nak beli ni?” kata Parul Gulati.
“Dia tukar kain hodoh zaman kanak-kanak kita jadi gaun paling cantik pernah saya tengok," kata Fitsandframes. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram