
MAJLIS perkahwinan pempengaruh dari Lebanon, Zein Qutami dan Celio Saab baru-baru ini menarik perhatian ramai bukan hanya kerana latar lokasi yang indah atau kehadiran tetamu jemputan, tetapi juga kerana penampilan pengantin perempuan yang mengenakan tiga busana pengantin rekaan khas oleh pereka fesyen tersohor dari Lebanon yang juga merupakan bapa mertuanya, Elie Saab.
Majlis tersebut diadakan dalam tiga bahagian berasingan yang dimulakan dengan makan malam sambutan pada malam Khamis, diikuti upacara keagamaan pada hari Jumaat dan diakhiri dengan majlis resepsi pada malam Sabtu.
Setiap acara berlangsung di lokasi berbeza, iaitu kawasan pergunungan Faqra dan gereja Bkerke yang masing-masing membawa simbolik tersendiri.
BACA LAGI: Vila mewah Naomi Campbell buat ramai terkejut, lengkap 4 kolam dan laluan terus ke laut
BACA LAGI: Usah jadi 'joy killer' matikan semangat orang, 'briskwalk' banyak manfaat termasuk kuruskan badan
Anak lelaki Elie Saab tampil segak di hari perkahwinan bersama wanita idamannya. —Instagram/@eliesaabworld
Tiga busana pengantin yang dipakai oleh Zein direka khusus untuk disesuaikan dengan suasana, latar tempat serta konsep majlis yang berbeza.
Bagi acara makan malam sambutan di Panorama Faqra, Zein memilih gaun berona merah jambu pasir yang diserikan dengan cape bersulam perincian Arabesque, iaitu elemen signatur dalam rekaan Elie Saab.
Acara tersebut diadakan di kawasan berbukit yang dikelilingi pemandangan semula jadi, termasuk pokok palma kecil dan landskap berbatu, menjadikan rekaan gaun yang dipilih tampak harmoni dengan latar persekitaran.
Menurut Zein, lokasi tersebut mempunyai nilai sentimental buat suaminya, Celio Saab yang juga merupakan anak kepada Elie Saab dan pewaris empayar fesyen itu.
“Gaun ini direka sebagai satu bentuk penghargaan kepada identiti Lebanon dan keindahan semula jadi lokasi majlis. Kami tidak mahu ia kelihatan terlalu menonjol, tetapi cukup untuk menyatu dengan persekitaran,” kata Zein.
Majlis kedua diadakan pada hari berikutnya, iaitu Jumaat di sebuah gereja.
Bagi upacara keagamaan ini, Zein tampil dengan gaun putih klasik yang menampilkan potongan tanpa bahu, berlengan panjang dengan korset berstruktur dan perincian sulaman perak yang halus.
Gaun tersebut disiapkan dengan layah (veil) panjang serta reben yang dijahit pada bahagian belakang sebagai penutup kepada struktur gaun.
Zein menyifatkan gaun tersebut sebagai busana paling menjadi simbolik dalam keseluruhan majlis perkahwinannya.
“Saya mahukan sesuatu yang elegan dan tidak lapuk dek zaman. Elie dan saya berbincang tentang setiap perincian secara menyeluruh.
"Beliau benar-benar memahami gaya dan citarasa saya dan hasilnya ialah rekaan yang bukan sahaja sesuai tetapi juga mewakili siapa diri saya,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pengalaman memakai gaun tersebut menjadikannya berasa yakin, selesa dan melalui satu transformasi yang semula jadi.
Beliau menyifatkan perasaan itu wajar dialami oleh setiap pengantin.
Acara terakhir iaitu majlis resepsi diadakan pada malam Sabtu di kediaman keluarga Saab di Faqra dalam suasana terbuka.
Majlis ini lebih santai tetapi tetap elegan dengan hiasan pencahayaan berlatarkan kawasan hutan dan konsep makan malam luar.
Untuk acara ini, Zein tampil dengan busana potongan duyung berwarna champagne yang menampilkan potongan leher dalam dan lapisan kain tambahan sepanjang 4.5 meter (m).
Gaun itu dihiasi perincian kristal, labuci dan batu lutsinar berbentuk berlian kecil yang diinspirasikan daripada unsur air serta motif geometri pasaran negara Timur Tengah.
“Gaun ini memberi penghormatan kepada gaya glamor Lebanon dan zaman kegemilangan Beirut. Saya mahu sesuatu yang lebih berani dan moden, tetapi masih mengekalkan gaya ringkas dan sofistikated yang sinonim dengan Elie Saab,” jelas Zein.
Ketiga-tiga gaun yang diperagakan oleh Zein bukan sekadar pakaian, tetapi mewakili tiga sisi berbeza dalam perjalanan perkahwinannya daripada simbol penerimaan dan budaya, kepada tradisi keagamaan dan akhirnya kepada ekspresi kendiri dalam suasana yang lebih bebas.
Kesemua busana menampilkan sulaman halus dan struktur rekaan yang menjadi identiti rekaan Elie Saab.
Bagi Zein, pengalaman ini lebih daripada sekadar memakai rekaan mewah. Ia adalah satu bentuk perjalanan peribadi yang turut diterajui oleh seseorang yang bukan sahaja merupakan pereka tersohor, tetapi juga ahli keluarganya sendiri.
Walaupun ramai pengantin mungkin berdepan dilema antara mematuhi tradisi dan mengekspresikan diri, Zein berjaya mengimbangi kedua-duanya dengan penuh tenang.
Keindahan busana hanyalah sebahagian daripada kisah yang lebih penting ialah bagaimana beliau membawa peranan sebagai pengantin dan isteri dengan yakin serta selari dengan identiti peribadinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram