Latih anak jangan jadi 'picky eater', sifat cerewet memilih makanan mungkin dipengaruhi tabiat ibu bapa


  • Bonda
  • Rabu, 23 Jul 2025

Kanak-kanak akan melalui fasa picky eater tetapi mesti akan mengatasinya.

ANAK yang cerewet makan adalah perkara biasa yang sering dialami oleh ibu bapa, terutamanya ketika fasa awal tumbesaran. Namun, sikap ini memerlukan perhatian dan bimbingan yang berterusan agar tidak menjadi satu tabiat kekal.

Baru-baru ini, di laman sosial Threads, seorang pengguna dengan nama mentarimeow berkongsi rasa kurang senangnya apabila anak tetamu yang datang ke rumah hanya mahukan sup kosong.

“Aku nak kena masak lauk asing ke untuk anak kau?!” luahnya.

BACA LAGI: Momen parti hari jadi tukar mimpi ngeri, anak cedera tulang belakang, lumpuh gara-gara lompat trampolin

BACA LAGI: Ibu pelik anak tiba-tiba ketawa, hiperaktif lepas makan kari di restoran, kas-kas ke puncanya?

Kenyataan itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna lain. Ramai yang bersetuju bahawa ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak supaya tidak terlalu memilih makanan, terutama apabila bertandang ke rumah orang.

Namun begitu, terdapat juga yang bersikap lebih empati terhadap ibu bapa yang perlu berhadapan dengan kerenah anak yang cerewet makan. Seorang pengguna lain, riseofthekraken, berkongsi pengalamannya.

“Anak saya ada autisme dan sangat cerewet. Saya pastikan dia sudah makan sebelum bertemu orang.”

Fasa normal tapi perlu dipantau

Sikap cerewet makan atau picky eater bukanlah situasi yang luar biasa dalam perkembangan kanak-kanak. Kajian menunjukkan purata 50 hingga 75 peratus kanak-kanak mengalami masalah ini.

Walau bagaimanapun, jika tidak ditangani dari awal, ia boleh membawa kepada masalah pemakanan yang lebih serius.

Langkah pencegahan boleh diambil sekiranya ibu bapa mengenal pasti tanda-tanda awal dan mula menyesuaikan diri dengan keperluan pemakanan anak.

Berikut adalah beberapa langkah praktikal untuk menggalakkan anak mencuba pelbagai jenis makanan:

1. Tunjuk contoh baik

Ibu bapa adalah 'role model' utama. Pilihlah makanan sihat dan bervariasi. Kajian menunjukkan tabiat pemakanan ibu bapa mempengaruhi selera dan pilihan makanan anak-anak.

2. Dedahkan anak kepada pelbagai jenis makanan

Perkenalkan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan sumber protein sejak awal. Jangan hadkan kepada makanan kegemaran semata-mata.

Anak-anak mungkin perlu diperkenalkan kepada sesuatu makanan sehingga 15 kali sebelum mereka benar-benar bersedia untuk mencubanya.

3. Elak jadi ‘chef peribadi’ anak

Jika anak tidak mahu makan makanan yang telah disediakan, tidak mengapa. Tetapi jangan terus memenuhi permintaan mereka dengan memasak makanan lain. Lama-kelamaan, rasa lapar akan mendorong mereka untuk makan apa yang tersedia.

4. Hormati pilihan anak, galak fleksibiliti

Sesetengah kanak-kanak lebih selesa dengan makanan yang ringkas seperti roti dipotong segi tiga, sup tanpa bahan tambahan atau sayur yang dicincang halus.

Ini bukan satu kesalahan, namun ibu bapa juga harus secara perlahan-lahan melatih anak-anak agar mencuba makanan yang mungkin di luar zon selesa mereka.

Dengan kesabaran, konsistensi dan sokongan, ibu bapa dapat membantu anak mengatasi sikap cerewet makan, sekaligus menjadikan waktu makan sebagai saat yang menyeronokkan dan bermakna untuk seisi keluarga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram