
SIAPA sangka, dari sebuah bandar kecil di Sabah, lahir anak muda luar biasa yang kini mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Siti Nur Hanisah Omar Hashim pelajar tahun akhir dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Vokasional Keningau (KVC) dipilih salah seorang daripada 50 finalis Anugerah Pelajar Global 2025.
Beliau merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia yang terpilih daripada lebih 11,000 pencalonan dari seluruh dunia.
Lebih membanggakan, wanita berusia 20 tahun itu bukan sekadar cemerlang dalam akademik, tetapi turut dikenali pelopor dalam pendidikan vokasional, kelestarian alam sekitar dan pembelajaran inklusif.
Antara inisiatif luar biasanya adalah penubuhan Mearpet, sebuah perusahaan sosial yang menukar pakaian terpakai dan anak patung lama menjadi alat bercerita berbentuk patung tangan untuk kanak-kanak.
Melalui Mearpet, beliau bukan sahaja mempromosikan amalan kitar semula, malah berjaya mengangkat budaya tempatan Sabah dengan mementaskan cerita rakyat etnik tempatan menggunakan patung hasil buatan sendiri.
Projek itu turut memberi ruang kepada pelajar berkeperluan khas untuk terlibat secara langsung dalam rekaan dan persembahan sehingga menjadikan ia platform yang benar-benar inklusif.
“Minat terhadap upcycling bermula sejak saya di sekolah menengah rendah lagi. Tinggal berhampiran Kota Kinabalu, saya sering melihat sungai tercemar akibat sisa plastik, dan dari situlah semangat saya untuk bertindak mula tercetus,” katanya.
Sejak melanjutkan pelajaran di KVC, Siti Nur Hanisah menggerakkan Mearpet secara lebih serius sehingga menjadi tumpuan ramai.
Kolej itu kini menjadi pusat pengumpulan pakaian dan mainan terpakai, termasuk sumbangan dari Semenanjung Malaysia.
Setakat ini, lebih 200 tan bahan berjaya dikumpulkan.
Bersama rakan-rakannya, beliau menjadikan Mearpet sebagai perusahaan sosial yang berjaya menghasilkan bahan pendidikan dan barangan unik daripada bahan terpakai.
Tidak terhenti di situ, Siti Nur Hanisah turut menubuhkan program The Path Forward iaitu kelas persediaan MUET secara percuma khusus untuk pelajar vokasional yang sering terpinggir daripada keperluan akademik untuk ke peringkat pengajian tinggi.
Kini, program itu menjadi sebahagian daripada tawaran tetap di kolejnya.
Beliau juga menerajui sebuah platform pembelajaran digital, Virtual, Remote, Live (VRL) yang telah menghubungkan lebih 2,500 pelajar dan guru di Malaysia dengan pendidik antarabangsa melalui kelas maya dan sesi pertukaran pengetahuan secara langsung.
Pengarah KVC, Lumang Lang menyifatkan kejayaan Siti Nur Hanisah sebagai bukti kemampuan institusi vokasional melahirkan pelajar yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga berjiwa rakyat.
“Hanisah adalah contoh nyata bahawa kolej vokasional di bawah Kementerian Pendidikan mampu melahirkan individu yang berwawasan, berkemahiran dan memberi impak besar kepada masyarakat,” katanya.
Sekiranya berjaya merangkul hadiah utama bernilai USD100,000 (kira-kira RM420,000), Siti Nur Hanisah merancang untuk melancarkan pertandingan keusahawanan sosial peringkat negeri Sabah dan membangunkan kit patung komersial dan bahan pembelajaran bertemakan budaya tempatan.
Anugerah Global Student Prize merupakan inisiatif Yayasan Varkey berpangkalan di United Kingdom dan Chegg.org, bagi mengiktiraf pelajar luar biasa yang memberi sumbangan signifikan kepada komuniti mereka.
Pengumuman 10 finalis terbaik dijangka dibuat bulan hadapan, manakala pemenang utama akan diketahui pada bulan September. — The Star/SANDRA SOKIAL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram