
BERBELAH bahagi perasaan seorang wanita apabila terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan ibunya selepas menerima tawaran pengajian di luar negara.
Berdasarkan luahan dimuat naik pengguna akaun Threads @exzzys baru-baru ini, tawaran pengajian ke Universiti Oxford, United Kingdom (UK) yang diterimanya juga dibiayai sepenuhnya di bawah biasiswa Chevening.
"Serba salah nak sambung belajar luar negara walaupun dapat biasiswa sebab kedai burger ibu akan dirobohkan hujung tahun ini (tanpa alternatif).
"Tersepit antara nak kejar cita-cita supaya dapat harumkan nama keluarga atau nak cepat kerja supaya ibu tak perlu fikir pasal berniaga," luahnya.
BACA LAGI: Mesin 'legend' arwah ayah jadi sumber semangat graduan UKM hasilkan bantal sensori bayi
BACA LAGI: Mengayuh sambil memasak, cef 'modified' basikal jadi dapur dan restoran unik, pusing 1 Denmark
Anak muda ini (kiri) berada dalam dilema sama ada memilih untuk membantu ibu atau mengejar cita-citanya.
Mengulas lanjut, seorang pelajar warga Malaysia yang sedang melanjutkan pengajiannya di London, UK menyarankan agar wanita tersebut memilih untuk tidak melepaskan peluang besar tersebut.
Baginya, perkara tersebut sepatutnya tidak dijadikan sebagai satu dilema terutama apabila menerima bantuan biasiswa Chevening.
Pelajar itu pada masa sama tampil memberi pencerahan berdasarkan pengalamannya sebagai penuntut antarabangsa di negara berkenaan.
"Gaji minimum di UK sekarang adalah RM70 (£12.20) sejam. Visa pelajar benarkan kita bekerja 20 jam seminggu.
"Kalau kerja empat jam sehari, lima hari seminggu, dalam sebulan boleh dapat sekitar Rm5,500 (£976.80).
"Kerjalah yang senang dapat seperti susun dan kira-kira barang di pasar raya Tesco, Asda, Morrison atau pelayan di kedai kebab atau kafe," tulisnya menerusi hantaran di akaun Threads @pkabahar.
Katanya lagi, kos sara hidup untuk seorang pelajar di UK juga tidaklah tinggi seperti yang disangka.
Baginya yang sudah berpengalaman, kos barang keperluan harian seperti bahan mentah adalah sekitar RM114 (£20) hingga RM171 (£30) seminggu.
Katanya, program biasiswa Chevening pula bukan sekadar menampung yuran pengajian, malah turut merangkumi elaun sara hidup bulanan, tiket penerbangan pergi dan balik, visa pelajar serta perkhidmatan kesihatan (NHS) secara percuma yang biasanya menelan belanja ribuan ringgit bagi pelajar biasa.
"Saya dengan suami datang sini kena bayar NHS sorang RM21,000 dan anak pula RM24,000. NHS percuma itu sangat wajar.
"Kalau adik datang sini, ambil RM1,000 untuk keselesaan hidup di sini (sebab dah dapat duit sara diri dari biasiswa), RM4,00 boleh beri mak di Malaysia.
"Berharap sangat adik ini sedar Chevening di Oxford bukan calang-calang orang dapat.
"Orang kaya habis puluhan ribu nak sekolahkan anak untuk dapat tempat di Ivy League University, Amerika Syarikat (AS) dan Russel Group University, UK," jelasnya.
Justeru, wanita berkenaan dinasihatkan untuk berfikir secara rasional sebelum membuat keputusan untuk menolak tawaran tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram