
PERJANJIAN eksklusif bernilai kira-kira RM470 juta (bersamaan AS$100 juta) antara Meghan Markle, Putera Harry dan Netflix kini telah berakhir.
Namun, itu bukan bermakna kerjasama mereka terhenti di situ.
Menurut sumber, pasangan diraja itu dijangka akan menandatangani perjanjian baharu bersama Netflix tidak lama lagi, kali ini dalam bentuk perjanjian first-look iaitu Netflix akan diberikan hak pertama untuk melihat dan memilih mana-mana projek yang mereka hasilkan.
“Lebih banyak projek TV akan diumumkan tidak lama lagi yang melibatkan kedua-dua Duke dan Duchess,” ujar sumber industri.
Perjanjian seperti itu juga pernah dibuat oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan isterinya, Michelle.
Dalam perkembangan berkaitan, Meghan turut menghentikan sementara podcast miliknya, Confessions of a Female Founder bagi memberi fokus kepada perniagaan gaya hidupnya, American Riviera Orchard.
Jenama itu baru-baru ini habis terjual produk wain rosé dan dijangka melancarkan rangkaian champagne serta koleksi barangan eksklusif sempena musim perayaan tidak lama lagi.
Sementara itu, rancangan gaya hidup Meghan bertajuk With Love, Meghan yang dilancarkan pada 4 Mac lalu berjaya meraih 5.3 juta tontonan.
Walaupun berada di kedudukan ke-383 dalam laporan separuh tahun Netflix, rancangan tersebut sebenarnya berada dalam kelompok 5 peratus teratas daripada lebih 7,500 kandungan di platform tersebut.
Ia mengatasi program popular seperti Chef’s Table, The Great British Baking Show dan Queer Eye musim kesembilan.
Musim kedua With Love, Meghan dijangka akan ditayangkan September ini dan sudah dirakam serentak dengan musim pertama.
Sebelum ini, Markle menyatakan dalam podcast Aspire bahawa dia menghentikan musim baharu podcastnya untuk memberi fokus kepada perniagaannya.
“Ramai yang menantikan musim kedua podcast saya, tapi buat masa ini saya perlu beri tumpuan sepenuhnya kepada bisnes saya," katanya.
Selain dalam dunia hiburan dan keusahawanan, Meghan juga aktif melabur dalam syarikat yang diketuai wanita.
Antaranya termasuk klinik maya, Midi Health yang memberi fokus kepada kesihatan hormon wanita pertengahan usia serta perniagaan minuman berasaskan oat, Clevr.
Dalam masa yang sama, Markle juga memberi tumpuan kepada keluarga dan anak-anaknya, Putera Archie, 6, dan Puteri Lilibet, 4. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram