
RAMAI yang menjadikan jeruk sebagai kudapan harian, malah ada yang menyamakan jeruk dengan buah-buahan segar.
Hakikatnya, jeruk bukan saja kehilangan hampir semua khasiat asal, malah boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan jika diambil secara berlebihan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Public Health Malaysia di media sosial, pihaknya memberi peringatan tegas mengenai bahaya tersembunyi di sebalik keenakan jeruk yang popular di kalangan rakyat Malaysia
“Jeruk bukan pengganti buah. Ia bukan lagi sumber nutrisi yang baik selepas melalui proses pengawetan yang melibatkan kandungan gula, garam, pewarna tiruan dan bahan pengawet yang tinggi,” katanya.
BACA LAGI: 'Bukan sekadar romantik, terapi jiwa', pakar jelas 5 kebaikan suami isteri berpelukan
Lebih membimbangkan, satu kajian oleh International Agency for Research on Cancer (IARC) pada 2010 menunjukkan bahawa makanan yang diawet secara berlebihan seperti jeruk boleh meningkatkan risiko kanser perut dan esofagus.
Ini berpunca daripada penggunaan bahan kimia seperti nitrit dan pengawet yang boleh mengganggu sistem tubuh dalam jangka panjang.
Selain itu, kandungan garam dan gula dalam jeruk komersial boleh mencecah tiga hingga lima kali ganda daripada keperluan harian seseorang.
Jika diamalkan secara kerap, ia boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang, kencing manis dan penyakit kardiovaskular.
“Bahan seperti sulfur dioksida dan natrium benzoat yang digunakan untuk menjadikan jeruk tahan lebih lama juga boleh mencetuskan alahan, sakit perut dan kesan kesihatan lain terutama kepada mereka yang sensitif,” katanya.
Public Health Malaysia turut menasihatkan orang ramai agar mengehadkan pengambilan jeruk terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil, wanita hamil dan individu yang mempunyai tekanan darah tinggi atau penyakit kronik lain.
“Jeruk boleh dimakan sekali-sekala, tetapi bukan sebagai makanan harian. Tubuh anda perlukan buah sebenar bukan versi yang telah hilang nilai zatnya,” katanya
Walaupun rasanya masam manis dan mudah menjadi kegemaran ramai, masyarakat diingatkan agar tidak terpedaya dengan kesedapan di lidah yang boleh membawa padah dalam diam.
“Sedap di mulut, jangan lupa kesan dalam diam," katanya.