'Bukan sekadar romantik, terapi jiwa', pakar jelas 5 kebaikan suami isteri berpelukan


  • Cinta
  • Rabu, 23 Jul 2025

Berpelukan antara suami dan isteri merupakan terapi emosi yang menyatukan jiwa. — Gambar Hiasan

DALAM kesibukan harian mengurus keluarga dan kerjaya, ramai pasangan terlupa satu perkara kecil yang mampu memberi impak besar dalam hubungan suami isteri iaitu berpelukan.

Menurut pakar perubatan, Dr. Ahmad Samhan Awang, pelukan antara pasangan bukan sekadar simbol kemanjaan atau aksi romantik semata-mata.

Sebaliknya, ia merupakan terapi emosi yang menyatukan jiwa, memperkuatkan kesihatan dan mampu menjadi penyelamat rumah tangga yang bergelora.

"Pelukan antara suami isteri bukan sekadar untuk sweet-sweet. Ia boleh jadi ubat, charger emosi dan penyelamat rumah tangga," kata Dr. Samhan menerusi satu hantaran di platform X.

BACA LAGI: Anak trauma lihat ibu kena ikat waktu kecil, kongsi cara jaga pesakit bipolar sampai sembuh

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan 'cheat code', pakar tepis tanggapan suntikan epidural hanya untuk wanita lemah

Beliau turut menyenaraikan lima kelebihan berpelukan antara suami dan isteri:

1. Merangsang hormon bahagia, menenangkan minda

Setiap kali berlaku pelukan, otak akan merembeskan hormon oksitosin yang juga dikenali sebagai hormon kasih sayang.

Hormon itu berfungsi menenangkan fikiran, memberi rasa selamat serta menurunkan tekanan darah.

“Pelukan ini ibarat ubat penenang semula jadi,” katanya.

2. Mengukuhkan hubungan, kepercayaan

Pelukan juga dapat mempereratkan ikatan emosi antara pasangan.

Tanpa perlu berkata apa-apa, tubuh secara tidak langsung menyampaikan mesej kasih sayang.

“Kadang-kadang kita tidak pandai meluahkan saya sayang awak setiap hari. Tetapi melalui pelukan, tubuh kita sendiri yang menyampaikan mesej itu,” katanya.

3. Baik untuk kesihatan jantung, sistem imun

Pelukan bukan sahaja memberi ketenangan emosi, malah turut menyumbang kepada kesihatan fizikal.

Antara manfaatnya termasuk membantu menurunkan tekanan darah, menstabilkan kadar degupan jantung dan menguatkan sistem imun tubuh.

Menurut laporan kesihatan Halodoc, pelukan boleh merangsang kelenjar timus iaitu organ yang berperanan menghasilkan sel darah putih penting untuk sistem pertahanan badan.

Gabungan sentuhan fizikal dan sokongan emosi itu menjadikan pelukan satu bentuk terapi semula jadi yang boleh membantu tubuh melawan penyakit dan mengurangkan tekanan harian.

Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa pasangan yang berpelukan setiap hari mempunyai kualiti tidur yang lebih baik dan kurang terdedah kepada penyakit.

Bagi kaum lelaki, pelukan terhadap isteri turut terbukti dapat menurunkan tahap stres selepas seharian berhadapan tekanan kerja.

“Jadi jika anda pulang ke rumah dalam keadaan tertekan kerana bos marah, klien bising, jangan terus capai telefon tetapi peluklah isteri terlebih dahulu,” jelas beliau.

4. Meredakan ketegangan, mengurangkan risiko pertengkaran

Pelukan dapat melembutkan hati dan mengurangkan tekanan.

Ini menjadikan pasangan lebih tenang dan tidak mudah terbawa emosi apabila berdepan perselisihan faham.

“Kalau sebelum ini sering bertengkar kerana perkara kecil seperti alat kawalan jauh atau pinggan tidak dibasuh, mungkin kini boleh diselesaikan dengan satu pelukan,” katanya.

5. Meningkatkan keintiman tanpa perlu melibatkan hubungan seksual

Pelukan juga boleh menjadi bentuk keintiman harian yang tidak semestinya berakhir dengan hubungan fizikal.

Ia merupakan tanda keprihatinan dan kasih sayang yang tulus.

“Pelukan tidak semestinya bermaksud ada niat lain. Ia adalah cara mudah untuk menunjukkan kita ambil berat, walaupun tiada sebarang agenda lain malam itu,” katanya.

Namun begitu, beliau mengingatkan secara berseloroh agar pelukan diberikan kepada pasangan yang sah.

“Pastikan yang anda peluk itu pasangan sendiri, bukan isteri orang,” katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram