Rasa rindu bertukar amarah? Ini penjelasan pakar psikologi tentang dinamik emosi dalam perhubungan cinta


  • Cinta
  • Khamis, 24 Jul 2025

Sesuatu hal yang dicari ketika berasa rindu adalah kedekatan dengan pasangan. — Gambar Hiasan

RINDU selalunya dikaitkan dengan perasaan manis dan romantik.  

Namun, tidak semua orang menzahirkan rasa rindu dengan cara yang menyenangkan. 

Ada yang mudah menjadi marah, tersinggung, merajuk tanpa sebab dan juga bersikap menjengkelkan terhadap pasangan.

BACA LAGI: Suami enggan lepas walau sudah lafaz taklik, peguam syarie jelas prosedur perlu isteri lakukan

BACA LAGI: 'Bukan sekadar romantik, terapi jiwa', pakar jelas 5 kebaikan suami isteri berpelukan

Persoalannya, mengapakah rindu boleh bertukar menjadi serangan emosi?

Bercakap soal itu, pakar psikologi, Yoca Hapsari menjelaskan bahawa sikap sebegitu sebenarnya mempunyai penjelasan yang logik dan psikologikal.

“Rindu itu adalah satu bentuk kehilangan sementara.

"Kita merindui hubungan, kehadiran dan perhatian daripada insan tersayang,” katanya. 

Dalam hubungan yang sihat, kejujuran emosi adalah asas penting. — Gambar Hiasan

Namun, apabila kita tidak dapat memiliki semua itu secara langsung iaitu tidak dapat menyentuh atau berinteraksi dengan pasangan seperti biasa, otak menganggap situasi itu sebagai satu bentuk 'ancaman'. 

Yoca berkata, hal itu menyebabkan rasa kecewa di dalam hati pula muncul. 

"Kekecewaan itu pula sering kali muncul dalam bentuk kemarahan pasif. 

"Individu menjadi lebih sensitif, mudah tersinggung, menyindir tanpa sebab atau menjauhkan diri," katanya. 

Yoca berkata, perkara itu sebenarnya adalah satu bentuk ‘perisai’ yang dicipta oleh otak untuk melindungi diri daripada rasa sakit yang lebih dalam iaitu rasa takut diabaikan, takut tidak penting atau takut dianggap terlalu emosional.

“Di sebalik kemarahan itu, ada ketakutan. Takut rindu tak berbalas. Takut dianggap berlebihan hanya kerana menyuarakan rindu,” katanya.

Justeru, ramai yang memilih untuk menyerang dahulu sebagai bentuk pertahanan. 

Padahal dalam diam, yang dicari sebenarnya hanyalah satu perkara iaitu rasa aman untuk merasa dekat.

Dalam kes sebegitu, Yoca menasihati pasangan agar belajar untuk berani menyatakan rasa rindu secara jujur dan terbuka. 

Antara ungkapan mudah tetapi bermakna yang boleh digunakan adalah seperti, “Saya rindu awak", “Saya mahu bercakap dengan awak", dan “Saya perlukan awak di sisi.”

Dalam hubungan yang sihat, kejujuran emosi adalah asas penting. 

Ini kerana, rasa rndu bukan sesuatu hal yang salah dan ia bukan juga satu kelemahan. 

"Kematangan emosi sebenar ialah apabila seseorang mampu berkata saya rindu awak dengan jujur, tanpa perlu menyakiti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram