
RAMAI tidak sedar bahawa kegagalan buah pinggang bukan sahaja menyerang golongan dewasa, malah kanak-kanak juga boleh mengalaminya.
Menerusi hantaran di Instagram doktor dan pempengaruh, Dr. Malar Santhi Santherasegapan, beliau berkongsi video bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang sejak usia muda.
Dalam video tersebut, Pakar Perunding Nefrologi, Dr. Wan Zuhaiqal Hafiz Wan Zulkiman tampil menjelaskan simptom awal buah pinggan melibatkan kencing berbuih, berdarah, kerap kencing malam atau jangkitan saluran kencing berulang.
BACA LAGI: Suami enggan lepas walau sudah lafaz taklik, peguam syarie jelas prosedur perlu isteri lakukan
BACA LAGI: Makan snek ringkas sebelum turun katil antara tip kurangkan 'morning sickness' — Dr. Raihana
Beliau menegaskan ibu bapa perlu memberi perhatian yang serius jika anak didapati mengalami salah satu simptom yang disebutkan.
“Jika anak menunjukkan tanda-tanda ini, sebaiknya segera berjumpa dengan pakar pediatrik untuk pemeriksaan lanjut.
"Penyakit buah pinggang dikenali sebagai pembunuh senyap kerana kebiasaannya pesakit tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, simptom mula ketara apabila pesakit mula memasuki tahap kelima apabila mereka akan mengalami masalah kaki bengkak, kencing berbuih ataupun mereka akan mengalami kesukaran bernafas.
Beliau menambah, punca utama kegagalan buah pinggang dalam kalangan pesakit dialisis di Malaysia adalah penyakit kencing manis, merangkumi hampir 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan kes.
Manakala, hipertensi pula menjadi penyebab kedua tertinggi.
Justeru, sebagai langkah pencegahan, Dr. Wan Zuhaiqal menasihati orang ramai menjaga pemakanan dengan mengurangkan pengambilan gula dan garam, bersenam secara konsisten serta mengelak penggunaan ubat tahan sakit dan suplemen tanpa kawalan.
“Berhenti merokok dan pastikan berat badan kekal ideal. Ini antara kunci utama untuk menjaga kesihatan buah pinggang kita,” katanya sambil menambah bahawa punca utama kegagalan buah pinggang bukanlah disebabkan oleh ubat dari hospital, tetapi berpunca daripada individu tersebut yang gagal menjaga kesihatan mereka dengan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram