
INDUSTRI fesyen di Malaysia tidak pernah ketandusan bakat baharu.
Namun, dalam kelompok pereka yang semakin ramai, tidak banyak yang benar-benar menonjolkan pendekatan unik berasaskan korset dan struktur, lebih-lebih lagi jika label yang diterajui oleh dua individu seperti jenama Amazae.
Diasaskan oleh dua figura muda iaitu Zeed Jameel, 39, dan Amar Madfie, 38, Amazae muncul sebagai jenama yang mengetengahkan elemen berstruktur, menjadikannya antara nama yang mula disebut-sebut dalam arena fesyen tempatan.
BACA LAGI: Awalnya janji nak jaga, wanita ditinggalkan teman lelaki lepas 3 bulan lumpuh akibat kemalangan
Zeed Jameel (kiri) dan Amar Madfie (kanan) bersama penyanyi, Ernie Zakri (tengah) yang merupakan antara selebriti sering dilihat menggayakan busana dari Amazae. —Instagram/@amazaeofficial
Dari rakan fakulti ke rakan niaga
Segalanya bermula di Fakulti Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam sebagai senior dan junior.
Dari situ, tercetus keserasian yang akhirnya membawa kepada pembentukan Amazae.
“Kadang-kadang, dari persahabatan ke alam pekerjaan itu belum tentu menjamin hubungan akan kekal. Tapi apabila ada keserasian, kami teruskan,” jelas Amar dalam temu bual bersama Majoriti.
Mengendali sebuah jenama bersama bukan perkara mudah. Percanggahan pendapat adalah sesuatu yang lumrah.
Zeed serta Amar tidak menafikannya. Namun bagi mereka, perbezaan itu merupakan penyumbang kepada rekaan yang menepati cita rasa.
“Tipulah kalau kami tak pernah bergaduh. Tapi daripada pergaduhan itu, kami cipta solusi. Apabila dua idea bergabung, hasilnya lebih kuat,” tambah Amar.
Amazae mengetengahkan rekaan berstruktur dengan elemen korset yang dijahit secara tersembunyi pada bahagian dalam. — Instagram/@amazaeofficial
Signatur Amazae
Rekaan Amazae dikenali dengan elemen korset, bias-cut dan draping yang menekankan struktur serta siluet tubuh wanita secara anggun.
Elemen ini tidak terhad untuk busana pengantin semata-mata, bahkan digunakan untuk acara formal seperti makan malam gala atau pertunjukan pentas.
“Kami guna konsep sama tapi sesuaikan dengan material mengikut majlis. Itu kekuatan fleksibiliti kami,” kata Zeed.
Mengulas mengenai fabrik, mereka lebih gemar memilih bahan bersifat medium-structured seperti chiffon, crepe silk dan organza silk kerana ia mudah dibentuk dan menyokong struktur rekaan.
“Dari situ, kami mereka pakaian yang bukan sekadar cantik, tapi melambangkan personaliti klien juga,” ujar Amar.
'Sisi lain' korset
Satu kekangan utama yang sering dikaitkan dengan korset adalah keselesaan atau lebih tepat, ketidakselesaan. Namun Amazae membuktikan sebaliknya.
“Kami cipta korset yang tersembunyi. Jadi apabila dipakai, ia memberi ilusi langsing dan dalam masa sama selesa,” jelas Amar.
Menurut Zeed, tidak ramai pereka di Malaysia mengetengahkan rekaan berasaskan korset. Oleh itu, mereka berani mengambil pendekatan berbeza dan menjadikan korset sebagai identiti mereka.
“Sekurang-kurangnya kalau bukan kami yang cipta, kami antara yang mulakan trend,” ujar Zeed.
Tambahnya lagi, rekaan ini juga menyokong postur dan pernafasan, sangat sesuai untuk klien seperti penyanyi atau mereka yang aktif di pentas.
Keterbukaan terhadap saiz dan bentuk badan
Salah satu nilai teras Amazae adalah kepelbagaian. Rekaan mereka bukan hanya untuk tubuh ideal, tetapi untuk semua jenis badan termasuk pelanggan bersaiz besar.
“Kami suka cabaran. Setiap jenis tubuh ada keunikan sendiri. Jadi kami akan sesuaikan potongan, contohnya kecilkan bahagian pinggang untuk cipta ilusi langsing,” kata Amar.
Proses ini melibatkan komunikasi yang rapat bersama pelanggan untuk memahami keperluan dan cita rasa masing-masing.
Koleksi simbolik kekuatan Amazae
Antara koleksi yang dianggap paling mewakili identiti dan kekuatan Amazae adalah Bespoke 2023.
Menurut mereka, koleksi ini dihasilkan sepenuhnya dari hati dan jiwa dari A sehingga Z.
“Koleksi itu benar-benar menunjukkan kekuatan kami sebagai duo pereka. Semua idea kami gabungkan dan hasilkan dengan sepenuh keikhlasan,” kata Amar.
Inspirasi rekaan
Dalam menghasilkan rekaan, Zeed dan Amar tidak terikat kepada satu sumber inspirasi sahaja.
Mereka banyak dipengaruhi oleh alam semula jadi, seni bina, filem dan muzik.
Namun antara ikon yang meninggalkan kesan mendalam buat Zeed ialah model, pelakon dan penyanyi era 60-an, Noor Kumalasari yang dianggap ‘tidak konvensional’ tetapi tetap ikonik.
“Beliau bukan kecantikan arus perdana, tapi kalau dibawa ke zaman sekarang pun masih boleh diterima,” kata Zeed ketika berkongsi sosok yang menjadi inspirasi peribadinya.
Manakala bagi label itu sendiri, Amazae banyak menjadikan rumah fesyen seperti Valentino dan Schiaparelli sebagai rujukan terkenal dengan elemen romantik dan struktur dramatik yang turut menjadi nadi dalam koleksi Amazae.
Kekal relevan 10 tahun akan datang
Bercakap soal masa depan, kedua-duanya sepakat bahawa Amazae tidak akan kekal statik. Walaupun korset merupakan DNA jenama kini, mereka terbuka untuk berevolusi.
“Fesyen bergerak mengikut trend. Kami tak boleh terlalu selesa dalam satu gaya. Kami tidak terhadkan rekaan kepada korset sahaja.
"Dalam lima hingga ke 10 tahun, mungkin kami akan tampil dengan sesuatu yang baharu,” kata Zeed mengakhiri temu bual. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram