
DALAM acara penuh gaya di The Kuala Lumpur Men’s Fashion Week (TKLMFW) 2025, satu momen bersejarah tercipta apabila Tanestrran Lournard Chandran, anak kepada ikon fesyen tempatan Datuk Bernard Chandran, tampil mempersembahkan koleksi sulungnya bersama bapanya, BC Beachwear.
Koleksi tersebut, yang dihasilkan menerusi kerjasama erat antara dua generasi itu, mencerminkan satu proses transformasi gaya dan pertukaran pandangan kreatif.
"Ini merupakan pembentangan pertama saya dan ia sangat istimewa kerana koleksi ini sebenarnya hasil kerja bersama ayah saya," kata Tanestrran kepada Majoriti.
BACA LAGI: Beli dulu rumah kecil, simpan, sewa, kemudian baru miliki kediaman lebih mahal — Ejen hartanah
Tanestrran Lournard Chandran. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Menariknya, koleksi BC Beachwear tampil berbeza dengan DNA asal Bernard Chandran yang sinonim dengan glamor dan kemewahan pakaian wanita.
"Saya melihat bagaimana estetik ayah saya berubah daripada rekaan feminin yang kompleks kepada sesuatu yang lebih lembut dan santai, diinspirasikan oleh gaya beachwear.
"Tapi tetap ada jiwa dan kemanisan,” jelas Tanestrran mengenai proses kreatif yang membentuk koleksi tersebut.
Walaupun membesar dalam dunia rekaan, Tanestrran tidak terus mengikut jejak ayahnya.
Sebaliknya, beliau memilih untuk meneroka bidang psikologi sebelum peluang kerjasama ini terbuka secara semula jadi.
Koleksi BC Beachwear tampil berbeza dengan DNA asal Bernard Chandran. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
"Kami membesar di seluruh dunia, tetapi tidak pernah dipaksa menyertai dunia fesyen.
"Bila saya terlibat, ia berlaku secara semula jadi dan ayah saya percaya saya boleh bawa sesuatu yang baharu kepada syarikat," tambahnya.
Hubungan mereka juga kini berkembang daripada sekadar ayah dan anak, kepada satu bentuk kerjasama kreatif.
"Kami kini bukan sahaja keluarga, tetapi pasukan. Saya beri idea, dia kongsi pengalaman. Kami saling belajar,” kata Tanestrran yang mengakui bahawa proses itu turut merapatkan lagi hubungan mereka secara peribadi.
Walaupun membesar dalam dunia rekaan, Tanestrran tidak terus mengikut jejak ayahnya. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Mengulas tentang tekanan untuk meneruskan legasi, Tanestrran mengakui perkara itu memang wujud, tetapi bukan sesuatu yang membebankan.
"Itu berada di belakang fikiran. Tapi kami tak terlalu fikirkan. Kami bekerjasama Beranachandran tetap Beranachandran.
"Saya tidak cuba menjadi dia, saya hanya cuba berada di sisi dan memberi perspektif saya sendiri," katanya jujur.
BC Beachwear menandakan satu permulaan baharu dalam fasa evolusi jenama Bernard Chandran. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Koleksi BC Beachwear membawa pendekatan intuitif dan kontemporari terhadap gaya lelaki.
Ia bukan sahaja segar dari segi reka bentuk, tetapi juga membawa suara baharu kepada jenama Bernard Chandran.
"Saya tidak cuba buat sesuatu hanya untuk mencuba. Ia datang secara naluri.
"Saya memahami dari mana ayah saya datang dan dari situ, saya bawa sesuatu yang lebih asli dari saya sendiri," katanya mengenai pendekatannya dalam rekaan.
Hubungan mereka kini berkembang daripada sekadar ayah dan anak, kepada satu bentuk kerjasama kreatif. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star
Dari segi proses kreatif, mereka berdua berkongsi satu ciri utama iaitu kejelasan dalam visi.
"Kami tahu apa yang kami mahu. Kami bukan jenis terlalu teoritikal. Kami lihat, rasa dan terus buat keputusan.
"Kalau ada perubahan pada saat akhir pun, kami tahu bagaimana nak menyesuaikan," kongsi Tanestrran, membayangkan kecekapan mereka menyesuaikan diri dengan cabaran fesyen.
Dalam banyak cara, kerjasama itu adalah refleksi dua dunia iaitu pengalaman dan pembaharuan.
BC Beachwear menandakan satu permulaan baharu, bukan sahaja dalam kerjaya Tanestrran, tetapi dalam fasa evolusi jenama Bernard Chandran.
"Saya tidak melihat ini sebagai meneruskan nama, tetapi memperluaskannya. Kami tidak meniru tetapi kami membina," simpul Tanestrran dengan yakin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram