[VIDEO] Pempengaruh Korea Selatan bakal kahwini jejaka Malaysia, rumah tradisional Hanok lokasi rai perkahwinan impian


  • Cinta
  • Isnin, 21 Jul 2025

Tara (kiri) memilih rumah tradisional Hanok sebagai lokasi penuh makna untuk hari bahagianya.

CINTA tak mengenal sempadan dan itulah dilalui oleh pempengaruh popular dari Korea Selatan, Tara Choi yang kini bermastautin di negara ini.

Menjalin hubungan dengan seorang lelaki dari Malaysia, pasangan itu bakal melangkah ke alam perkahwinan dalam suasana yang cukup istimewa.

Berbeza dengan majlis moden di dewan atau hotel mewah, Tara memilih untuk meraikan hari bahagianya di sebuah rumah tradisional Korea atau lebih dikenali sebagai Hanok.

BACA LAGI: Dunia hospitaliti hasil adunan inovasi bersama budaya, M Social permata baharu Pulau Mutiara

BACA LAGI: Beli dulu rumah kecil, simpan, sewa, kemudian baru miliki kediaman lebih mahal — Ejen hartanah

Ia lokasi yang cukup indah dan sarat dengan nilai budaya.

Menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosialnya, Tara Choi berkongsi secara eksklusif suasana lokasi yang bakal menjadi tempat penyatuan dua budaya itu.

Menariknya, beliau turut membawa penonton mengelilingi setiap sudut bangunan yang akan digunakan untuk majlis perkahwinannya nanti.

“Adakah kamu semua mahu lihat di mana saya akan berkahwin?”, itulah pembuka kata Tara dalam videonya.

Beliau kemudian menunjukkan sebuah rumah tradisional Hanok yang bakal menjadi latar majlis perkahwinan.

Menurutnya, pintu masuk yang ditunjukkan dalam video adalah laluan utama untuk para wanita, manakala bahagian tengah halaman akan dijadikan pentas untuk upacara perkahwinan.

Tidak hanya menyewa lokasi, Tara turut melibatkan diri dalam menghias dan menata tiga bilik khas untuk kegunaan peribadinya serta keluarga.

Salah satu bilik itu akan digunakan oleh Tara untuk berehat sebelum berlangsungnya hari bahagia, manakala pada pagi perkahwinan, beliau akan bersiap, menggayakan rambut dan mengenakan busana tradisional hanbok di ruang tersebut.

“Orang yang datang dari Malaysia pasti suka sini,” kata Tara sambil menunjukkan pelbagai sudut menarik di sekitar kawasan itu.

Beberapa rumah Hanok lain turut dijadikan ruang bergambar, termasuk kawasan bertema yang kelihatan seperti zaman lampau dan penuh dengan elemen seni bina Korea.

Tidak cukup dengan lokasi yang memukau, kawasan itu juga dilengkapi dengan sebuah kafe bersebelahan tempat perkahwinan sesuai untuk tetamu berehat dan bersantai.

Malah, selepas majlis selesai, para tetamu boleh singgah di sebuah kedai hadiah berdekatan untuk membeli cenderahati kenangan.

Pemilihan lokasi itu bukan sahaja mencerminkan kecintaan Tara terhadap budaya sendiri, tetapi juga menjadi lambang penghargaan terhadap perbezaan latar belakang dengan pasangannya dari Malaysia.

Majlis yang bakal berlangsung itu dijangka menggabungkan elemen budaya Korea dan Malaysia dalam suasana yang cukup eksklusif dan bermakna.

Dengan pemandangan mempesona dan kehangatan nilai tradisi, perkahwinan Tara Choi pastinya menjadi detik manis yang bukan sahaja diraikan oleh keluarga, malah disambut dengan penuh keterujaan oleh pengikut dan peminat kedua-dua buah negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram