
PENTAS peragaan haute couture atau adibusana di Paris, Perancis selalunya memaparkan rekaan yang sukar dibayangkan untuk dipakai di dunia nyata seperti topi bulu besar, baju perisai logam atau gaun yang mencabar hukum graviti.
Tetapi sebenarnya, pakaian seperti ini bukan sekadar untuk dipakai, malah ia mewakili seni, kreativiti dan jenama fesyen itu sendiri.
Segmen paling eksklusif dalam senarai minggu fesyen telah berlangsung dari 7 sehingga 10 Julai, iaitu Minggu Haute Couture.
Rekaan adibusana Dior memberi fokus kepada daya kreativiti tinggi dan kemahiran eskstrem. — Agensi
Seni rekaan adibusana dianggap sebagai aras tertinggi dalam dunia fesyen kerana ia eksklusif, dilindungi oleh undang-undang dan menonjolkan kebolehan kreatif pereka serta kemahiran seni kraf pasukan mereka.
Antara jenama terkenal yang menyertai senarai elit ini termasuklah Chanel, Dior, Schiaparelli, Giorgio Armani Prive, Rahul Mishra dan Maison Margiela.
Acara ini dikawal oleh organisasi rasmi Federation de la Haute Couture et de la Mode.
Walaupun rekaan ini dipuji dari sudut seni dan ketelitian kerja tangan, masih ramai yang tertanya-tanya - jika pakaian itu tidak boleh dipakai dalam kehidupan sebenar, maka apakah tujuannya?
Apa itu Haute Couture?
Dalam bahasa Perancis, haute couture bermaksud ‘jahitan tinggi’ atau ‘penjahitan eksklusif’.
Ia merujuk kepada pakaian yang direka khas, dijahit tangan menggunakan fabrik mewah dan dibuat khusus mengikut saiz pelanggan.
Hanya rumah fesyen yang memenuhi syarat ketat daripada Federation de la Haute Couture et de la Mode sahaja yang boleh menggunakan label haute couture.
Antaranya ialah mereka mesti mempunyai bengkel di Paris, menggaji sekurang-kurangnya 20 orang tukang jahit sepenuh masa dan mempersembahkan sekurang-kurangnya 25 rekaan dua kali setahun (Januari dan Julai).
Ini bukan pakaian untuk jualan besar-besaran. Ia fokus kepada kreativiti, kemahiran ekstrem dan harga yang sangat tinggi untuk pelanggan elit.
Di luar Paris, istilah haute couture juga digunakan secara umum untuk pakaian yang ditempah khas di kota fesyen lain seperti Milan, New York dan London.
Namun pakaian redy-to-wear (siap pakai) tetap dijual oleh jenama adibusana untuk pasaran umum.
Hakikatnya, pakaian adibusana yang ditampilkan di pertunjukan fesyen jarang dijual kepada umum.
Ia lebih kepada menonjolkan imej jenama. Disebabkan kos tinggi dan permintaan rendah, beberapa jenama menghentikan koleksi couture mereka dan hanya fokus kepada pakaian siap pakai.
Pertunjukan adibusana adalah contoh jelas menonjolkan status dan eksklusiviti. — Agensi
Mengapa haute couture tampak tidak praktikal?
Perbezaan ketara antara pakaian di pentas peragaan dengan pakaian sebenar yang dijual di pasaran berpunca daripada teori sosiologi dan ekonomi sejak dahulu.
Salah satunya ialah teori Trickle-Down oleh Ahli Sosiologi, Georg Simmel. Menurutnya, fesyen digunakan untuk menunjukkan status sosial.
Golongan elit akan memakai gaya unik yang mahal. Apabila gaya itu ditiru oleh masyarakat biasa, golongan elit akan beralih kepada gaya baharu yang lebih eksklusif.
Kitaran tersebut kemudiannya berterusan dan di situlah adibusana memainkan peranan sebagai permulaan segala trend.
Ahli ekonomi, Thorstein Veblen pula menyifatkan tingkah laku ini sebagai 'perbelanjaan untuk menunjuk' (conspicuous consumption).
Dalam bukunya The Theory of the Leisure Class (1899), beliau menjelaskan bahawa golongan kaya sanggup berbelanja untuk benda mahal dan tidak praktikal semata-mata untuk menunjukkan kekayaan mereka.
Semakin pelik atau mahal sesuatu barang, semakin kuat ia menunjukkan bahawa si pemilik tidak perlu risau tentang kos atau fungsi.
Pertunjukan adibusana adalah contoh jelas kepada konsep ini yang mana pakaian terlalu mahal, rumit dan sukar dipakai tetapi sempurna untuk menonjolkan status dan eksklusiviti.
Ia menjadi simbol kreativiti pereka, kemahiran kraf dan lambang jenama. Dari sinilah lahir idea-idea yang kemudiannya disederhanakan untuk fesyen harian.
Fesyen sebagai seni
Namun, adibusana bukan sekadar soal kemewahan Ia adalah pameran seni. Bagi pereka fesyen terutama dalam dunia couture, fabrik dan tubuh manusia adalah kanvas mereka.
Pentas peragaan ialah galeri seni mereka dan setiap gaun umpama arca seni.
Melalui rekaan couture, mereka meneroka idea konsep, mencabar batas teknikal dan material, menceritakan kisah serta mencerminkan budaya semasa, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh pakaian siap pakai. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram