
JIKA mesej atau hantaran di media sosial boleh diarkib, maka percaya atau tidak, pakaian juga boleh dilakukan hal sama.
Siapa sangka, pakaian berusia puluhan tahun kembali menjadi rebutan di pentas-pentas berprestij dunia.
Daripada Met Gala ke Festival Filem Cannes sehinggalah ke Anugerah Grammy, semakin ramai selebriti antarabangsa memilih untuk menggayakan semula busana arkib atau pakaian daripada koleksi lama jenama fesyen terkenal.
Bukan sekadar bergaya, pilihan ini juga membawa mesej lebih mendalam iaitu menghargai warisan fesyen, memelihara sejarah reka bentuk dan menyokong prinsip fesyen lestari yang mengutamakan pemakaian semula.
BACA LAGI: Cegah konten video sarat slanga 'brain rot', elak anak-anak tutur bahasa rojak
BACA LAGI: Kumpulan darah anak tak sama dengan ibu bapa, pakar hematologi beri penjelasan munasabah
Berikut Majoriti senaraikan lima penampilan selebriti terkenal menghidupkan semula busana arkib dengan gaya tersendiri:
Zendaya menghidupkan semula era futuristik Mugler dari koleksi musim luruh 1995. — Agensi
1. Zendaya
Zendaya mencuri perhatian apabila tampil memukau dalam rekaan ikonik Thierry Mugler daripada koleksi musim luruh 1995.
Busana berkonsep futuristik ini menampilkan potongan dramatik dengan elemen logam berkilat dan panel plexiglass, diinspirasikan daripada filem Metropolis.
Rekaan ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dan pertama kali diperagakan sempena ulang tahun ke-25 Mugler di Paris.
Ia juga pernah dipamerkan dalam pameran Thierry Mugler: Couturissime di Muzium Brooklyn pada 2022.
Miley Cyrus tampil penuh glamor dan nostalgia pada Anugerah Grammy 2024 dalam gaun vintaj Bob Mackie. — Agensi
2. Miley Cyrus
Pada malam Anugerah Grammy 2024, Miley Cyrus mengimbau kembali era kegemilangan glamor dengan busana vintaj rekaan Bob Mackie pada 2002.
Dress berkilauan itu diperbuat daripada kain sifon sutera yang dihiasi penuh dengan batu rhinestone, labuci dan manik.
Reka bentuknya menampilkan potongan terbuka di bahagian perut dengan skirt berjurai penuh perincian.
Walaupun didominasi dengan warna hitam dan perak, sentuhan warna magenta, ungu dan biru kehijauan pada labuci menjadikan keseluruhan penampilan Miley tampak berani dan mempesona.
Lily-Rose Depp menyarung kembali gaun couture Chanel 1992 yang pernah diperagakan Christy Turlington. — Agensi
3. Lily-Rose Depp
Lily-Rose Depp turut menjadi tumpuan apabila mengenakan gaun couture Chanel dari koleksi musim bunga dan panas 1992.
Gaun klasik yang pernah dipakai supermodel Christy Turlington ini membawa kembali nostalgia keanggunan awal 90-an.
Sebagai duta jenama Chanel, Lily kerap memilih busana arkib Chanel untuk acara besar seperti Met Gala, sekali gus mengekalkan aura eksklusif dan ikonik jenama itu.
Natalie Portman memilih gaun Dior berinspirasikan rekaan 1951 pada Festival Filem Cannes 2025. — Agensi
4. Natalie Portman
Aktris Natalie Portman pula memilih gaun haute couture Dior yang diinspirasikan daripada rekaan 1951.
Diperbuat daripada kain net halus dan baldu hitam, gaun ini dihiasi sulaman perak berbentuk sisik yang diinspirasikan daripada rekaan asal, Mexico.
Berbeza dengan versi asal berwarna emas dan hitam, Natalie memilih versi berkilauan dalam tona perak bagaikan langit malam.
Lebih mengagumkan, gaun ini mengambil masa 700 jam untuk disiapkan dengan 450 jam diperuntukkan khusus untuk sulaman tangan oleh Atelier Safrane.
Dua Lipa memilih busana Versace koleksi musim luruh 1992 dalam penampilannya pada Anugerah Grammy 2022. — Agensi
5. Dua Lipa
Dua Lipa pula tampil berani dalam busana ikonik Versace dari koleksi musim luruh 1992 yang pernah digayakan oleh nama-nama besar seperti Cindy Crawford dan Donatella Versace sendiri.
Gaun klasik ini menampilkan tali-tali silang di bahagian dada dan badan, dipadankan dengan korset lut sinar serta skirt labuh berwarna hitam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram