
APABILA Jonathan Anderson mempersembahkan koleksi sulung pakaian lelaki untuk Dior hujung minggu lalu selepas berpindah dari Loewe, semua mata tertumpu ke pentas peragaan.
Ramai tertanya-tanya, bagaimana sentuhan unik Anderson akan diterjemahkan kepada jenama mewah yang penuh sejarah seperti Dior?
Jawapannya bukan hanya ada pada pakaian di pentas, tetapi juga di barisan hadapan, terutamanya pada penampilan penyanyi Espresso, Sabrina Carpenter.
Carpenter, yang juga dikenali sebagai peminat setia Anderson sejak era Loewe, mencuri perhatian apabila tampil dengan set sut kelabu polos daripada fabrik bulu.
BACA LAGI: Faham, teliti kondisi anak 'speech delay', panduan praktikal buat ibu bapa
(Kiri) Gaya ‘New Look’ Dior dalam majalah Vogue, April 1947 dan model Dior, Jean Dawnay dirakam di London pada tahun 1954. — Agensi
Walaupun nampak ringkas, rupanya sut itu merupakan versi terbaharu rekaan paling terkenal dalam sejarah Dior iaitu The New Look.
Dalam dunia fesyen, ada beberapa rekaan yang begitu ikonik hingga melebihi nama pereka asalnya. Rekaan seperti inilah yang dikenali sebagai house codes, iaitu identiti kekal yang membentuk DNA sesuatu jenama dan diteruskan walau siapa pun pereka yang memimpinnya.
Di Chanel, contohnya, mereka ada sut tweed. Di Louis Vuitton, bagasi bercetak logo. Manakala di Dior, daripada Christian Dior hinggalah ke Maria Grazia Chiuri dan kini Jonathan Anderson, The New Look menjadi simbol utamanya.
Bagi yang belum mengenali, The New Look bukan sekadar satu gaya. Ia ialah siluet romantik dan feminin yang pertama kali diperkenalkan oleh Christian Dior pada 12 Februari 1947.
Ia muncul sebagai lambang kebangkitan semula fesyen Perancis pasca Perang Dunia Kedua, menampilkan potongan bahu bulat, pinggang ramping, dada penuh dan skirt kembang.
(Kari) Dior haute couture musim bunga/panas 1987 oleh Marc Bohan dan Dior musim luruh/sejuk 2009/2010 oleh John Galliano. — Agensi
Antara elemen paling ikonik ialah Bar Jacket, iaitu jaket berstruktur yang terus menjadi simbol Dior sejak hari pertama.
Sepanjang dekad berlalu, setiap pengarah kreatif Dior memberi nafas baharu pada jaket ini sambil mengekalkan identiti asalnya.
Kini, giliran Jonathan Anderson meneruskan legasi itu. Jika sut yang digayakan Carpenter dijadikan petanda, Anderson nampaknya mahu membawa The New Look kembali ke akar tradisinya selepas pelbagai eksperimen rekaan sepanjang tahun.
Anderson juga dilihat aktif menggali arkib rumah fesyen itu. Dari kad jemputan ala seramik vintaj hinggalah cetusan gaya klasik di pentas peragaan musim bunga dan panas 2026, semuanya memberi petunjuk kepada penghargaan beliau terhadap sejarah Dior.
(Kiri)) Dior haute couture musim luruh/sejuk 2012/2013 oleh Raf Simons dan musim bunga/panas 2017 oleh Maria Grazia Chiuri.— Agensi
Selepas Christian Dior meninggal dunia, baton diberikan kepada Yves Saint Laurent yang mengolah Bar Jacket kepada Trapeze Line.
Kemudian, Marc Bohan memperkenalkan gaya lembut yang digelar Slim Look, disukai selebriti seperti Sophia Loren dan Puteri Grace Monaco.
Era Gianfranco Ferré pula membawa glamor era 80-an, diikuti John Galliano yang penuh gaya dan avant-garde.
Raf Simons pula memberi sentuhan minimalis dan moden. Manakala pereka wanita pertama yang mengetuai Dior, Maria Grazia Chiuri menggabungkan unsur feminin dan feminisme dalam interpretasi New Look.
(Kiri) Elle Fanning di Festival Filem Cannes 2019 dan Yseult di Festival Filem Cannes 2024. — Agensi
Beliau turut bekerjasama dengan pereka Grace Wales Bonner dan artis Mickalene Thomas bagi mencipta semula Bar Jacket dalam versi lebih moden.
Penampilan selebriti seperti Elle Fanning dan Yseult di Festival Filem Cannes serta Monica Barbaro di Met Gala turut menjadi bukti bahawa New Look sentiasa relevan, baik di pentas mahupun di permaidani merah.
(Kiri) Monica Barbaro di Met Gala 2025 dan Sabrina Carpenter di pertunjukan Dior Men musim bunga/panas 2026. — Agensi
Kini, dengan sentuhan Anderson dan daya tarikan muda Carpenter, era baharu New Look seakan bermula semula. Ia menggabungkan sejarah dan pembaharuan.
Apa lagi yang bakal dilakukan Anderson terhadap siluet paling berpengaruh dalam sejarah Dior ini? Kita tunggu dan lihat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram