Pantau pipi, leher, kehadiran tompok gelap, kutil petanda awal serangan jantung — Dr. Azura


  • Sihat
  • Rabu, 23 Jul 2025

Tompok gelap sekitar pipi dan kutil pada leher tanda awal anda berisiko mengalami serangan jantung. — Gambar hiasan/Canva

PERNAHKAH anda lihat wajah seseorang mempunyai tompok hitam atau nama saintifiknya dikenali sebagai acanthosis nigricans?

Pada kita, mungkin individu tersebut hanya mengalami masalah pigmentasi. Namun, tahukah anda? Ia sebenarnya mungkin petanda awal serangan jantung.

Dapatan itu adalah perkongsian daripada doktor selebriti, Dr. Azura Abas menerusi hantaran di Instagramnya pada Selasa.

BACA LAGI: 'Bukan sekadar romantik, terapi jiwa', pakar jelas 5 kebaikan suami isteri berpelukan

BACA LAGI: Bapa mentua pereka fesyen tersohor, 3 gaun eksklusif Elie Saab warnai majlis perkahwinan menantu

Menurut Dr. Azura, seorang lelaki dengan tompok hitam pada pipi, kutil pada lehel dan mempunyai sejarah keluarga yang membimbangkan berkunjung ke klinik di mana tempat beliau bertugas.

Beliau mengambil keputusan untuk melakukan pemeriksaan saringan jantung terhadap pesakit terlibat selepas selesai menjalankan rawatan.

"Selepas selesai rawatan untuk masalah hari tersebut, saya pujuk beliau untuk buat saringan jantung. Apabila darah diambil dan menilai risiko, memang tinggi.

"Kami rujuk ujian stres, tapi pakar kardiologi kata terus buat angiogram dan memang saluran darah utama dah hampir separuh tersumbat," jelasnya.

Tambah beliau, pesakit tersebut kini menjalani rawatan pemasangan stent (alat kecil berbentuk tiub logam halus untuk bantu aliran darah ke jantung) dan bersyukur kerana masalah kesihatannya dikesan lebih awal.

Hati-hati kerana tompok hitam pada wajah bukan masalah pigmentasi, namun petanda awal individu berisiko alami serangan jantung.

Lebih mengejutkan, pesakit itu juga tidak tahu dirinya menghidap diabetes, kolestrol tinggi serta paras asid urik yang berlebihan.

"Tompok gelap itu sebenarnya acanthosis nigricans, selalunya dikaitkan dengan hyperinsulinemia akibat rintangan insulin. Masalah ini berkait rapat dengan sindrom metabolik yang boleh membawa kepada serangan jantung, strok, mati pucuk dan lain-lain," katanya.

Walaupun tiada kajian besar yang mengesahkan kaitan tompok gelap dengan serangan jantung, Dr. Azura merujuk satu kajian kecil di Mexico yang menunjukkan individu dengan acanthosis nigricans mempunyai salur darah jantung yang lebih tebal.

"Jadi, berhati-hatilah jika anda mempunyai petanda tompok gelap pada pipi, leher atau ketiak, terutamanya jika ada sejarah keluarga berkaitan jantung, diabetes atau anda seorang perokok," pesannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram