Beli dulu rumah kecil, simpan, sewa, kemudian baru miliki kediaman lebih mahal — Ejen hartanah


  • Hias
  • Isnin, 21 Jul 2025

Membeli kediaman bernilai RM200,000 dan ke bawah bukanlah kediaman idaman, tetapi menjadi titik mula penting dalam pelaburan hartanah. — Gambar hiasan/Freepik

MASIH ramai beranggapan rumah mampu milik terutama bawah RM200,000, bukan pilihan ideal untuk dibeli.

Namun seorang ejen hartanah sepenuh masa, Syauqi Atar, tampil berkongsi pandangan berbeza menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Menurut Syauqi, selepas beberapa tahun berkecimpung dalam bidang hartanah, semakin ramai pembeli pertama memilih unit kediaman pada harga sederhana sebagai langkah awal untuk memiliki aset sendiri.

BACA LAGI: Dunia ‘influencer’ tidak lari dari kritikan, cara tindak balas cerminan siapa kita - Khainina

BACA LAGI: Banglo setingkat kembali jadi idaman, 4 reka bentuk paling mendapat permintaan

"Dulu saya sangka rumah harga bawah RM200,000 orang tak minat. Tapi makin lama berada dalam bidang ini, saya jumpa ramai pembeli mula dengan rumah kategori ini," katanya.

Antara contoh yang dikongsi termasuk unit rumah pangsa berharga RM120,000 yang disewakan pada kadar RM700 sebulan.

Dengan bayaran bulanan pinjaman sekitar RM500, pemilik mampu memperoleh lebihan tunai kira-kira RM200 setiap bulan, sekali gus sebagai satu aliran tunai positif yang memberi keuntungan berterusan.

Jika rumah sedemikian disimpan sekurang-kurangnya lima tahun, anggaran keuntungan boleh mencecah lebih RM10,000, belum termasuk peningkatan nilai hartanah dari semasa ke semasa.

"Ramai yang masih belum beli rumah sebab tunggu nak beli rumah besar terus. Akhirnya sampai ke sudah tak beli pun," jelasnya lagi.

Langkah bijak bermula kecil

Syauqi menegaskan bahawa rumah bawah RM200,000 bukanlah kediaman idaman, tetapi menjadi titik mula penting dalam pelaburan hartanah.

Beliau menyarankan agar orang ramai memulakan dengan rumah kos sederhana dan seterusnya naik taraf apabila kewangan semakin stabil serta mempunyai rekod bayaran yang baik.

"Beli dulu rumah kecil, simpan, sewa, kemudian baru naik ke rumah lebih mahal. Begitulah caranya,” ujar beliau.

Perkongsian itu menjadi peringatan berguna buat golongan muda dan mereka yang sedang berkira-kira membeli rumah supaya jangan tunggu sempurna untuk bermula. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram