[VIDEO] Minum air sejuk lepas bersalin punca rahim jatuh hanya mitos, Dr. Amalina pesan hormati budaya, tapi jangan takut ilmu


  • Bonda
  • Selasa, 22 Jul 2025

Dr. Amalina berkata, dakwaan minum air sejuk selepas melahirkan boleh menyebabkan rahim jatuh atau badan 'masuk angin' adalah mitos yang tidak berasaskan sains.

DALAM masyarakat kita, pantang larang selepas bersalin sering dianggap sesuatu yang wajib diikut meskipun tidak disokong oleh fakta perubatan.

Larangan seperti tidak boleh minum air sejuk, tidak boleh mandi malam atau perlu berpantang selama 44 hari masih diamalkan secara meluas.

Meskipun niatnya baik untuk menjaga kesihatan ibu, ada kalanya ia menimbulkan tekanan dan ketakutan yang tidak perlu.

BACA LAGI: Bekas isteri jangan diam diri lepas cerai, peguam jelaskan cara tuntut mut’ah, sagu hati wajib diberikan

BACA LAGI: Pilih satu gaun dan kenali personaliti anda, sama ada suka berangan atau memendam perasaan

Lebih membimbangkan apabila amalan ini disebarkan tanpa asas saintifik, ia berisiko mengganggu proses penyembuhan sebenar.

Justeru, pakar bedah kelahiran Malaysia yang kini berkhidmat di United Kingdom (UK), Dr. Amalina Bakri tampil membetulkan salah faham berkaitan amalan tradisi selepas bersalin.

Dalam satu hantaran di Instagram beliau pada Isnin, beliau menjelaskan dakwaan kononnya minum air sejuk selepas melahirkan boleh menyebabkan rahim jatuh atau badan 'masuk angin' adalah mitos yang tidak berasaskan sains.

"Tiada bukti saintifik kata air sejuk bahaya untuk ibu lepas bersalin. Apa yang penting ialah kekal hidrat bagi menyokong penghasilan susu badan, memberi tenaga dan mempercepatkan penyembuhan luka," katanya dalam hantaran video yang dimuat naik.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya.

"Saya pun minum air sejuk lepas bersalin dan rahim kekal berada di kedudukan asal," ujarnya sambil menambah bahawa penting menghormati budaya, tetapi ia perlu disertai dengan ilmu perubatan.

Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian daripada warga maya yang rata-ratanya turut bersetuju dengan beliau. Malah, ada juga yang berkongsi pengalaman peribadi.

"Betul tu, hormati budaya tapi jangan takut ilmu," ujar @rinnf ringkas.

"Saya sangat bersyukur ikut nasihat awak tentang penjagaan selepas bersalin. Sekarang dah masuk lapan bulan lepas bersalin. Saya rasa lebih sihat dan bertenaga berbanding sebelum ini. Keadaan fizikal dan emosi saya juga baik sepanjang tempoh berpantang," kata @adealogy.

"Anak pertama ikut semua pantang, stres. Anak kedua dan ketiga ikut nasihat doktor, hasilnya lebih bahagia dan susu pun banyak," komen @ellynetty_88.

“Saya diberikan air sejuk selepas pembedahan di hospital Miami. Terkejut saya tapi tak ada pun rahim jatuh," kata @abbysalih. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram