
KEHIDUPAN selepas perkahwinan menuntut tanggungjawab besar, terutama apabila pasangan baru saja menyambut kelahiran cahaya mata.
Namun, satu kisah tragis yang dikongsikan oleh pengguna Thread, Fxliamsi, menjadi pengajaran penting tentang mengutamakan keluarga.
Kisah itu menceritakan seorang suami gemar melepak hingga subuh, tanpa menyedari isterinya yang baru bersalin telah meninggal dunia, meninggalkan bayi mereka menangis kelaparan.
BACA LAGI: Ruang terhad bukan alasan, ada cara hias apartmen kecil tampak 'cozy', moden ala 'suite'
Kisah penuh iktibar
Seorang lelaki, kawan kepada abang Fxliamsi, pulang ke rumah pada waktu subuh selepas melepak bersama rakan-rakan.
Bayi mereka, yang berusia tiga atau empat bulan, ditemui menangis tanpa suara, kemungkinan kerana lapar.
Malangnya, apabila cuba mengejutkan isterinya, beliau mendapati wanita itu sudah tidak bernyawa.
"Anda boleh bayangkan? Balik lepak tiba-tiba isteri dah tak ada. Sedangkan waktu itu sepatutnya kau patut ada sebelah isteri," tulis fxliamsi di Thread.
Kisah itu bukan sahaja menyentuh hati, tetapi juga meninggalkan kesan mendalam kepada lelaki tersebut.
Rasa bersalah terus menghantuinya kerana tidak mengetahui punca sebenar kematian isteri
Apabila ditanya oleh keluarga mentua atau orang lain, beliau hanya mampu diam, tidak dapat memberikan penjelasan.
"Bila orang tanya apa sebenarnya jadi pun kau tak boleh nak jelaskan. Kau hanya boleh cakap tak tahu," kongsi Fxliamsi.
Rasa bersalah terus menghantuinya kerana tidak mengetahui punca sebenar kematian isterinya. — Gambar Hiasan/AI
Tragedi itu menjadi peringatan keras tentang pentingnya mengutamakan tanggungjawab sebagai suami dan bapa.
Gaya hidup melepak seperti zaman bujang tidak lagi sesuai apabila sudah berkeluarga, lebih-lebih lagi dalam fasa kritikal seperti tempoh berpantang selepas kelahiran.
"Boleh pergi melepak. Tapi kena ingat sama tanggungjawab dan amanah yang ada untuk dijaga," tegas Fxliamsi.
Perkongsian itu mengajak lelaki untuk menjadi suami dan bapa yang bertanggungjawab, matang serta bijaksana.
Kehadiran fizikal dan emosi di sisi keluarga adalah penting, terutama pada saat-saat genting.
Fxliamsi turut menyeru agar lelaki mengambil iktibar daripada kisah itu dan mengutamakan keluarga dalam setiap keputusan.
"Lelaki, jadilah seorang yang baik, bijaksana, dewasa, matang, bertanggungjawab dan sebaik mungkin bagi keluargamu," pesan Fxliamsi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram