
NAOMI Campbell dikenali sebagai antara supermodel paling berpengaruh di dunia.
Namun, di sebalik lensa kamera dan pentas peragaan, supermodel antarabangsa itu menyimpan sebuah rahsia yang lebih peribadi iaitu sebuah vila tropika mewah di pesisir pantai Malindi, Kenya, Afrika yang menjadi tempat dia melarikan diri dari kesibukan dunia glamor.
Terletak menghadap Lautan Hindi dan dikelilingi oleh rimbunan pokok kelapa, vila itu bukan sekadar kediaman percutian tetapi sebuah tempat istimewa yang Campbell miliki sejak 1999.
Ruangan bilik tidur yang terdapat dalam rumah Campbell.
Sejak itu, Malindi menjadi lokasi tetap untuk beliau menyendiri, berehat dan kembali menyatu dengan alam.
Reka bentuk vila berkenaan menampilkan seni bina tradisional Afrika Timur yang diolah dalam gaya terbuka.
Bumbungnya dibina menggunakan daun palma yang dikeringkan di bawah matahari, makuti yang berfungsi untuk memberikan perlindungan daripada panas terik secara semula jadi.
Ruang tamunya yang luas dan terbuka membolehkan angin tropika masuk bebas sehingga menjadikan suasana rumah sentiasa sejuk dan nyaman.
Vila milik Campbell itu mempunyai empat kolam renang.
Antara elemen menarik pada vila itu ialah pintu kayu yang diukir khas oleh artis Itali, Armando Tanzini.
Setiap ukiran memaparkan pengaruh budaya Swahili sehingga menjadikan rumah itu bukan sahaja indah, malah penuh nilai seni dan warisan.
Bahagian dalam rumah dihiasi dengan perabot buatan tangan, permaidani bermotif haiwan eksotik, serta bunga-bungaan segar yang memberikan sentuhan tropika dan suasana yang damai.
Warna-warna semula jadi dan tekstur kayu dipilih untuk mewujudkan suasana yang tenang.
Di bahagian luar pula, vila itu mempunyai empat kolam renang, ruangan beranda untuk bersantai, serta laluan peribadi yang membawa terus ke arah pantai.
Di sekelilingnya, terdapat taman tropika menghijau dan pondok tamu yang disediakan khas buat tetamu yang berkunjung.
Campbell juga menyediakan ruang spa kesihatan yang diinspirasikan daripada pendekatan detoks oleh Henri Chenot yang menekankan keseimbangan antara kesihatan fizikal dan ketenangan mental.
Dalam temu bual bersama Architectural Digest, Naomi menyifatkan rumah itu sebagai tempat dia bernafas semula, yang jauh daripada tekanan kehidupan selebriti.
“Kenya bukan hanya tempat percutian. Ia adalah sebahagian daripada jiwa saya,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram