'Kami sekufu tapi dia lebihkan ibu', lelaki kenakan syarat tinggal bersama bakal mentua, wanita pilih undur diri


  • Cinta
  • Jumaat, 18 Jul 2025

Wanita dilema untuk berkahwin selepas lelaki meletakkan syarat untuk tinggal bersama ibunya yang kini berusia lebih 70 tahun. — Gambar Hiasan

CINTA hadir dengan pelbagai bentuk ujian. Ada yang diuji dengan jarak, ada yang diuji dengan masa. 

Bagi seorang wanita, Kokoro, ujiannya datang dalam bentuk pilihan yang sulit iaitu mengenai kesanggupannya untuk tinggal bersama ibu mentua selepas berkahwin. 

Menerusi perkongsian di laman Threads, wanita berusia 37 itu berkongsi kisah perkenalannya dengan seorang lelaki bujang berusia 47 tahun iaitu lelaki yang dilihat cukup ideal dari segala sudut.

“Dia tak pernah kahwin, berkerjaya baik, stabil kewangan, bukan perokok, penyayang dan lemah lembut. Saya rasa kami sekufu dalam banyak hal,” katanya.

BACA LAGI: Hilang sosok ibu, mangsa kemalangan maut langgar anjing di Klang rupanya ibu tunggal, cekal urus 4 anak sendiri

BACA LAGI: Jepun tawar khidmat sewa nenek, jadi tempat 'curhat' selepas putus cinta, peneman ke majlis sebagai ahli keluarga sementara

Namun, lelaki itu ada meletakkan satu syarat untuk meneruskan perkahwinan iaitu mereka perlu tinggal bersama ibunya yang kini berusia lebih 70 tahun. 

Kokoro berkata, ayah lelaki itu sudah  meninggal dunia sejak di sekolah menengah dan kakaknya pula sudah berkeluarga.

Kokoro mengakui, secara prinsipnya, dia faham dan hormat permintaan tersebut. 

Tetapi secara peribadi, dia ragu akan kemampuannya untuk menyesuaikan diri dalam situasi itu.

“Saya tak rasa saya mampu tinggal dengan ibu mentua. Tapi saya takkan minta dia buat pilihan. Kalau saya tak boleh, saya yang akan undur diri. Bukan ibunya yang perlu beralah,” luahnya.

Kokoro turut menjelaskan bahawa dia sudah melakukan solat istikharah dan masih terus berdoa agar diberi petunjuk terbaik. 

"Saya juga kena jujur dengan diri saya. Kalau dari awal saya rasa tak mampu, lebih baik saya mengundur sekarang,” katanya. 

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian itu mendapat reaksi pelbagai dengan ramai wanita tampil berkongsi pengalaman dan memberi pandangan dari hati ke hati.

Seorang pengguna, Tarantulagebu menasihatkan Kokoro supaya bertemu terlebih dahulu dengan bakal ibu mentua.

“Jumpa dulu, tengok keadaannya. Kalau dah kenal pun masih rasa tak sanggup, teruskan hidup dan biar dia cari orang lain yang lebih sesuai. Jangan paksa diri," katanya. 

Sementara itu, pengguna lain, Nazuha Malik menyentuh perasaan ramai apabila menceritakan bagaimana suaminya sering menahan rindu terhadap ibunya yang tinggal jauh.

"Saya tengok mata dia kadang-kadang, saya tahu dia rindu mak dia. Tapi dia tak cakap. Saya bersyukur ada suami yang baik, dan saya rasa itu berkat dari mak dia," katanya. 

Sementara itu, Farahleeanna menasihatkan Kokoro supaya membuka hati jika masih sayang.

"Kalau boleh ikhlas, teruskan. Jaga ibu mentua macam mak sendiri. Benda remeh tolak tepi. Nak jumpa suami baik zaman sekarang pun bukan senang," katanya.

Seorang lagi warga maya, Nadsabry pula menekankan pentingnya perbincangan awal antara pasangan.

"Menjaga ibu mentua bukan wajib, tapi kalau buat, itu tanda ikhlas. Saya tinggal dengan ibu mentua juga, tapi masih ada ruang untuk diri sendiri. Asalkan kena ada perbincangan yang elok," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram