Barang rosak, tak berguna mungkin pembawa tenaga negatif, buang 100 objek ini agar aura rumah terpelihara


  • Hias
  • Sabtu, 19 Jul 2025

Senarai 100 barang negatif ini bantu pulihkan semula aura positif dalam rumah anda. — Gambar hiasan

KITA selalu sangka rumah serabut sebab kurang ruang.

Tapi hakikatnya, mungkin terlalu banyak benda yang sepatutnya kita dah lama buang.

Itulah antara mesej utama dalam perkongsian oleh Izzliyana Adzwa di Threads baru-baru ini yang tular dalam kalangan warga maya.

BACA LAGI: [VIDEO] Cinta bertukar nyawa, doa suami di sisi jenazah isteri tercinta meruntun hati warganet

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sticker pun print sendiri, cookies tak boleh telan', Aunty Ja terbang ke Bintulu bongkar penipuan Suka Dessert palsu

Beliau menyenaraikan 100 barang 'negatif' di rumah yang kelihatan kecil dan remeh, tapi sebenarnya menyumbang kepada keserabutan mental, fizikal dan emosi jika tidak ditangani.

Menariknya, senarai itu bukan sekadar menyentuh soal kekemasan fizikal rumah, tetapi juga menyentuh aspek kesihatan mental, nostalgia toksik, malah kemungkinan terjerumus ke dalam masalah 'Hoarding Disorder'.

"Kadang, kita bukan tak rajin kemas. Kita cuma tak tahu apa yang patut dilepaskan."

Senarai Izzliyana dibahagikan kepada beberapa kategori utama yang sangat praktikal:

Kategori pakaian

Barang-barang seperti baju lama yang tak muat, stoking tinggal sebelah atau aksesori fesyen yang sudah lapuk, semuanya masih ‘berlegar’ dalam almari tanpa kegunaan sebenar.

Lebih mengejutkan, ada yang simpan seluar dalam lusuh untuk kegunaan kecemasan.

Kategori kecantikan

Daripada makeup expired hingga botol kosong skincare yang 'sayang nak buang', semua itu bukan sahaja tidak berguna, malah berpotensi menjadi sarang bakteria.

Izzliyana mengingatkan, "Barang kecantikan yang dah tamat tempoh tak patut dijadikan hiasan."

Dapur dan barang tak berguna

Chopstick berkulat, periuk berkarat, stok plastik dari 'takeaway' bertahun lamanya semua itu hanya mengambil ruang dan memberi beban visual.

Barang seperti rempah ratus yang dah lama luput tarikh juga disebut sebagai antara punca tenaga dapur mati.

Ruang tamu dan bilik tidur

Antara penyumbang aura negatif paling besar adalah bunga palsu yang layu, jam rosak, bingkai gambar kosong, hingga bantal kemek yang dah hilang bentuk.

"Kita tidur dalam ruang yang sepatutnya tenang, tapi barang-barang ini memerangkap tenaga lama," jelas beliau.

Pejabat rumah dan hiasan

Pen yang dah tak boleh tulis, buku teks lama, kalendar tahun lepas dan kabel USB yang dah tak padan itu semua nampak kecil, tapi menambah kekusutan jika dibiarkan berterusan.

Barang anak dan haiwan peliharaan

Mainan rosak, baju anak tak muat, makanan haiwan yang dah expired, semuanya perlu dilepaskan untuk memberi ruang kepada perkara baharu lebih sesuai dan selamat.

Elektronik dan mainan digital

Keyboard lama, bateri yang sudah tamat tempoh dan aksesori telefon zaman dahulu. Mungkin dulu berharga, tapi sekarang? Cuma duduk dalam laci menunggu reput.

Balkoni dan stor

Cat kering, kerusi patah, rak berkarat dan pasu kosong. Semua itu tidak membawa nilai jika tidak digunakan.

Bahkan boleh jadi tempat pembiakan serangga atau bau yang kurang menyenangkan.

Kategori emosi dan kenangan negatif

Paling penting barang-barang yang menyimpan ‘beban emosi’.

Hadiah bekas kekasih, surat lama, nota penuh keraguan diri atau kenangan projek gagal, semua itu seperti sangkar halimunan yang mengikat emosi kita tanpa sedar.

"Rumah kita adalah cerminan isi hati. Kalau rumah bersih dan tenang, insyaALLAH fikiran pun akan lebih lapang," tulis Izzliyana di hujung perkongsian tersebut.

Beliau menutup catatannya dengan menyeru orang ramai untuk mula 'declutter', bukan kerana trend tetapi demi kesihatan jiwa dan minda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram